November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Euforia Dangdut Versi Feel Koplo Bakal Berlangsung Di Festival Aku, Muzik dan Kamu 2.0

Spread the love

Oleh: Rafidah ‘White’ Abusamah

FEEL KOPLO,  duo DJ yang mengangkat idea untuk mengadun semula lagu-lagu popular Indonesia ke nuansa dangdut agar kedengaran lebih segar dan ‘catchy’, mungkin masih belum dikenali sepenuhnya di bumi Malaysia ini.

Perhatian harus diberikan kepada prestasi cemerlang yang ditampilkan gandingan dua sahabat lama dari Bandung – MAUFLI IKHSAN dan TENDI AHMAD secara suka-suka pada mulanya mencipta ‘formula bijak’ bereksperimentasi dari tahun 2018 dan dengan mendadak berjaya mencipta euforia baharu dalam sub aliran sensasi irama dangdut versi ‘koplo’. 

Antara yang boleh dibanggakan ialah peningkatan jumlah tontonan menerusi platform media sosial mereka, selain kejayaan ‘mencatat rekod’ apabila diundang mengadakan persembahan di luar negara, bersama artis popular antarabangsa seperti Alan Walker dan The Walters.

Justeru, sempena meraikan Festival Aku Muzik dan Kamu 2.0 (AMK 2.0) yang akan berlangsung di Johor Baharu pada 18 Jun depan, Feel Koplo dengan rasa teruja turut mengaku, persembahan di Malaysia adalah detik yang telah lama mereka nantikan.

“Ini momen yang paling ditunggu-tunggu oleh Koplo. Malah set list nya juga kini masih dalam proses, kerana perlu mengikut rentak dan minat pendengar di Malaysia,” kata salah seorang anggota Feel Koplo iaitu Maulfi Ikhsan ketika sesi sidang media yang diadakan secara virtual baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai persembahan yang bakal dibawakan pada 18 Jun nanti, Ikhsan berkongsi, bahawa mereka bakal berduet dan membawakan lagu Masdo secara remix pada acara berkenaan.

Alasannya,  Feel Koplo dan Masdo sudah saling mengenali ketika acara muzik yang pernah diadakan di Indonesia, selain mereka amat meminati lagu-lagu Masdo terutamanya lagu berjudul, Dinda.

“Kenapa kami memilih Masdo, ini kerana kami sudah lama mengenali mereka ketika acara yang diadakan di Indonesia. Malah, kami juga meminati lagu mereka berjudul, Dinda. Lagu itu juga cukup terkenal di sini.

“Justeru, memandangkan kami satu sama lain sudah mengenali, maka proses kerjasama untuk manggung (membuat persembahan bersama) lebih mudah,” ulasnya lagi.   Menjawab soalan berkenaan lagu artis Malaysia yang lain yang mereka turut ingin remix-kan , Feel Koplo tanpa berfikir panjang menjawab yang mereka amat berbesar hati jika berpeluang berkolaborasi atau menjadikan lagu-lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai lagu remix mereka.

“Selain Masdo, Sheila Majid (Sinaran), kami juga berbesar hati mahu remix lagu Siti Nurhaliza,” kongsinya.

Dalam pada itu, Feel Koplo berpendapat figura SITI NURHALIZA cukup terkenal dalam kalangan anak muda di Indonesia.

“Untuk remaja yang lahir tahun 90-an dan ke atas, saya rasa muzik Siti itu masih berbekas di dalam hati. Kenapa? Mungkin hampir kesemua stesen tv di Indonesia mengikuti perjalanan Siti tidak kiralah sama ada gosip atau sebaliknya.

“Bahkan, Siti juga seringkali muncul di televisyen!” ujar Ikhsan sempat melahirkan rasa kagumnya terhadap penyanyi kesayangan ramai itu.

Selain Feel Koplo, Festival AMK 2.0 juga turut diserikan dengan kehadiran kumpulan Masdo, IAMNEETA, Saixse, Imran Ajmain, Afgan, Nidji, Exists serta Ratu Rock Negara, Ella.

Festival AMK 2.0 turut menampilkan festival makanan dari MaQan Space bagi memuaskan pelbagai citarasa pengunjung dari seluruh negara.

Harga tiket adalah RM229 (Chill Zone Free Seating), RM229 (Galau Zone Free Standing), RM369 (Rock Zone Free Standing) dan RM569 (Rock Zone + VIP Lounge Access) di platform www.ticket2u.com.my.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page