September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Estranged Sasar 5000 Peminat Bakal Saksikan Konsert Apa Khabar Teman

2 min read
Spread the love

Kumpulan Estranged  bakal mengadakan Konsert Apa Khabar Teman? pada 3 Februari depan di Persada Johor, Johor Bahru dan mensasarkan 5000 peminat bakal hadir ke konsert tersebut.

Kumpulan yang dianggotai Rich (vokalis), Din (gitar) dan Hanafi (gitar) berkata, ianya adalah berdasarkan demografi peminat Estranged yang rata-rata mahukan mereka beraksi di negeri Johor.

“Ianya adalah berdasarkan analisis data demografi peminat kami yang berada di negeri itu.  Hal ini telah kami dapatkan menerusi semua platform media sosial sebelum kami bersepakat membuat keputusan untuk beraksi di selatan tanahair”, ujar Din sewaktu sidang media konsert berkenaan yang di adakan di Ace Café Kuala Lumpur pada 21 November lalu.

“Selepas tujuh tahun tidak aktif di semenanjung, kami ada sesuatu yang baharu untuk diperkenal dan diraikan bersama peminat. Kami pilih beraksi di Johor terlebih dahulu kerana merancang untuk bermula di selatan tanah air sebelum bergerak ke lokasi-lokasi lain di semenanjung”, tambahnya.

Menerusi konsert itu, mereka akan mengembalikan ingatan peminat dengan lagu-lagu popular Estranged sebelum ini. Antara lagu yang dikenali dan menjadi siulan ramai ialah Itu Kamu dan Hancur Aku berduet dengan Fazura yang dihasilkan pada 2015.

“Memang kami akan menjemput beberapa penyanyi bagi memeriahkan konsert ini.  Kalau Fazura dapat sertai pasti lebih meriah kerana dia juga ada dalam perjalanan karier Estranged. Tapi, buat masa ini kami belum dapat mengesahkannya. Pihak kami akan mengumumkan senarai nama penyanyi jemputan secara berperingkat di pelbagai platform media sosial milik kami”, ujarnya lagi.

Setelah tujuh tahun, kumpulan yang pernah bergelar pemenang Anugerah Juara Lagu ke-22 itu hanya aktif di Sabah dan Sarawak.

“Rasanya sudah tiba masa untuk kami aktif dan mengadakan konsert besar di semenanjung. Jika mendapat sambutan, kami akan meneruskan konsert ini di beberapa lokasi lagi sekitar semenanjung, Sabah dan Sarawak,” ujar Rich.

Bukan hanya sekadar sebuah konsert tetapi Estranged juga punya ‘misi’ istimewa yang akan diperkenalkan kepada peminat iaitu sesi ‘berkenalan’ dengan instrument tradisional dan kebudayaan serta warisan etnik keluarga Borneo.

Tiket-tiket akan mula dijual pada 27 November 2023 di www.ticket2u.com dengan harga early bird untuk minggu pertama sahaja – Itu Kamu (139) dan Odoi (RM89).  Manakala harga normal iaitu kategori Itu Kamu (RM149), Odoi (RM99) serta Meet & Greet + merchandise (RM300) – 100 pembeli tiket sahaja.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page