December 14, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ernie Zakri Terus Gemilang, Rangkul Dua Anugerah Tertinggi ABPBH 37

Spread the love

Malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH 37) mencatat sejarah tersendiri buat Ernie Zakri apabila penyanyi berbakat besar itu dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular dan seterusnya merangkul anugerah paling berprestij, Bintang Paling Popular, sekali gus menobatkan beliau sebagai figura pilihan rakyat Malaysia bagi tahun ini.

Kemenangan berganda itu nyata menjadi detik penuh emosi buat Ernie yang mengakui langsung tidak meletakkan jangkaan tinggi untuk membawa pulang sebarang trofi pada malam berkenaan. Namun, sorakan gemuruh dan lautan sokongan peminat membuktikan kedudukan kukuh beliau di hati khalayak.

“Alhamdulillah, perasaan sangat-sangat happy dan sangat-sangat bersyukur. Saya bersyukur dengan kehadiran peminat-peminat yang mengundi dan sentiasa mendoakan kejayaan saya. Sebenarnya anugerah ini memang untuk peminat, yang sangat-sangat insist untuk saya sekurang-kurangnya merasa anugerah Top 10 Penyanyi Wanita Popular ini,” ujar Ernie sejurus menerima anugerah.

Lebih membanggakan, Ernie mencipta kejayaan luar biasa apabila mencatat jumlah undian mencecah 124 juta, sekali gus melayakkan beliau dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 37. Kejayaan itu menjadi simbol kasih sayang dan kesetiaan peminat setianya yang dikenali sebagai Ernienators.

“Saya rasa sangat-sangat happy kerana setelah beberapa tahun kita bersama-sama berusaha, Alhamdulillah, peminat saya dapat anugerah Penyanyi Wanita Popular serta anugerah Bintang Paling Popular. Saya takkan dapat pengiktirafan ini kalau peminat-peminat saya tidak mengundi. Jadi saya nak buat special shout out to Ernienators kerana sudi memberikan saya merasa anugerah ini,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pencapaian bermakna yang akan dikenang sepanjang hayat.
“Alhamdulillah, this is one of my achievements yang saya akan kenang sampai bila-bila.”

Tahun 2025 sememangnya menjadi fasa paling cemerlang dalam perjalanan seni Ernie Zakri. Selain kejayaan projek Perjalanan, single hit beliau “Masing Masing” mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima pensijilan 3x Platinum di Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara vokalis wanita paling berpengaruh di rantau ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan luar biasa tersebut.

“Kami di Universal Music Malaysia amat berbangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ernie Zakri atas kejayaan gemilang meraih anugerah Bintang Paling Popular dan Penyanyi Wanita Popular di ABPBH 37. Kemenangan berganda ini adalah pengiktirafan sewajarnya atas dedikasi, bakat vokal luar biasa serta hubungan erat beliau dengan peminat,” katanya.

Menurut Kim Lim, pihak Universal Music Malaysia komited untuk terus mengembangkan kerjaya Ernie ke peringkat serantau, khususnya Asia Tenggara, dengan sasaran memperluaskan pengaruh muzik beliau ke pasaran baharu.

“Kami melihat potensi besar untuk muzik Ernie menembusi pasaran serantau, mengikut jejak kejayaan lagu Masing Masing yang mendapat tempat di hati peminat Nusantara. Kami percaya bakat beliau memiliki potensi global yang besar,” tambahnya.

Sebagai kesinambungan kejayaan di ABPBH 37, Ernie Zakri kini sedang membuat persiapan untuk menutup tirai tahun 2025 menerusi ‘Nostalgia NYE Concert’ yang bakal berlangsung di Le Meridien Petaling Jaya pada 31 Disember ini.

Lebih mencetuskan keterujaan, Ernie turut memberi bayangan akan tampil dengan single Hari Raya baharu pada tahun hadapan, sekali gus menjanjikan lebih banyak karya segar buat peminat yang sentiasa menantikan sentuhan magis vokalnya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page