Ernie Zakri & Anggi Marito Persembahkan “Kisah Penuh Kecewa”

Kolaborasi Rentas Negara Sarat Emosi dan Ketulusan
Dua figura vokal terkemuka dari Malaysia dan Indonesia, Ernie Zakri dan Anggi Marito, bergabung buat pertama kali menerusi sebuah kolaborasi istimewa dalam single terbaharu berjudul “Kisah Penuh Kecewa” – sebuah karya balada emosi yang menyentuh tema cinta yang tidak kesampaian, namun sarat dengan kekuatan dan ketabahan jiwa.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan bersama Clara Riva, Ernie Zakri, Anggi Marito dan S/EEK, manakala susunan muzik pula turut digarap oleh S/EEK dengan bimbingan vokal oleh IRVNAT, menjadikannya sebuah produksi yang lengkap dari segi teknikal dan artistik. “Kisah Penuh Kecewa” kini tersedia di semua platform penstriman digital bermula 23 Mei 2025.

“Lagu ini menceritakan perpisahan yang bukan berpunca daripada ketiadaan rasa, tetapi kerana salah seorang memilih untuk tidak lagi meneruskan hubungan. Ia menyedihkan, namun pada masa sama memberi kekuatan untuk bangkit dan melangkah ke hadapan,” ujar Ernie Zakri, yang juga pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39.
Pengalaman merakamkan lagu ini turut memberi kenangan manis buat Ernie yang terbang ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama Anggi dan pasukan produksi. Meskipun berlangsung dalam bulan Ramadan, proses rakaman berjalan lancar dengan semangat kerjasama yang tinggi.

“Saya rasa sangat terhormat dapat bekerjasama dengan Ernie Zakri, seorang penyanyi yang saya kagumi sejak sekian lama. Vokal beliau bukan sahaja hebat dari segi teknikal, tetapi mampu menyampaikan rasa secara mendalam,” kongsi Anggi Marito, finalis Indonesian Idol musim ke-11.
Menurut Anggi, penulisan lagu bersama Clara Riva berlaku secara organik dan pantas, dipacu oleh keserasian suara dan emosi antara beliau dan Ernie. Mereka sepakat memilih pendekatan power ballad sebagai landasan utama lagu, agar dapat mengetengahkan kekuatan vokal dan penceritaan secara tulus.
“Kisah Penuh Kecewa” berdiri sebagai manifestasi kerjasama rentas budaya yang membuktikan muzik mampu melangkaui sempadan geografi. Gabungan dua suara unik ini bukan sekadar menyentuh emosi pendengar, tetapi juga memperlihatkan keupayaan kedua-dua artis dalam mengekspresikan naratif cinta dan perpisahan secara mendalam dan bermakna.
Lirik lagu ini yang jujur dan terus ke inti perasaan menjadikan ia mudah untuk dihayati oleh khalayak luas, terutamanya mereka yang pernah melalui episod kehilangan dalam percintaan.
Sebagai pelengkap kepada pelancaran lagu ini, Anggi Marito turut diumumkan sebagai artis jemputan istimewa dalam konsert solo sulung Ernie Zakri, Aura: Ernie Zakri Live in Concert, yang akan berlangsung pada 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp, Singapura. Malam istimewa ini dijangka menjadi momen epik yang mempertemukan dua bintang muda Asia Tenggara dalam satu pentas berprestij.
Dengan kekuatan vokal, kejujuran dalam penyampaian, dan produksi yang kemas, “Kisah Penuh Kecewa” dijangka menjadi antara karya duet paling signifikan tahun ini dan peneman setia buat mereka yang sedang mencari kekuatan untuk bangkit daripada kekecewaan cinta.
Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital pada 23 Mei 2025. Saksikan juga video muzik rasmi yang membawa naratif visual seiring dengan kekuatan vokal dua penyanyi hebat ini.