September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Entiti Kad “Tarot” Mengancam Nyawa Setelah Langgar Aturan

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Filem seram “Tarot” yang diangkat berdasarkan buku berjudul “Horrorscope” karya Nicholas Adams telah bermula tayangan di pawagam seluruh Malaysia pada 3 Mei 2024 yang lalu. Dibawah produksi Sony Pictures Entertainment, karya bersama sutradara Spenser Cohen dan Anna Halberg ini dibintangi barisan pelakon popular seperti Harriet Slater yang pernah muncul sebagai Fran dalam filem Indiana Jones and The Dial of Destiny (2023), Adain Bradley, Avantika, Jacob Batalon, Humberly Gonzalez, Alana Boden, Olwen Fouere, Wolfgang Novogratz dan Larsen Thompson.

Menghadirkan nuansa seram melalui kad Tarot yang umumnya digunakan untuk kepentingan spiritual dan meramal nasib dan menghadirkan misteri imej entiti di kad Tarot yang berubah menjadi nyata dan mengancam nyawa. Apabila sekelompok sahabat secara ceroboh melulu melanggar peraturan suci bacaan Tarot iaitu jangan sesekali menggunakan kad orang lain, tanpa sedar mereka telah melepas kejahatan dahsyat yang terperangkap di dalam kad jahanam itu. Pencerobohan itu telah mendatangkan malapetaka mengerikan.

Satu persatu dari mereka harus berhadapan dengan takdir dan berakhir dalam perlumbaan menentang kematian. Mereka harus melarikan diri dari masa depan yang diramalkan dalam bacaan mereka. Setiap entiti direkabentuk mengikut imej kad Tarot dan siap sedia memburu mangsa korbannya. Atas kedegilan masing-masing, mampukah mereka menyelamatkan diri dari ramalan mengerikan yang mereka baca sendiri?

Saya teruja menonton filem “Tarot” ini berikutan deskripsi sinopsis filem yang menarik dan mengharapkan ketakutan tahap menggigil tulang belakang. Namun menurut saya ianya adalah sebuah filem seram moden yang boleh dijangka plot ceritanya dari setiap babak ke babak seterusnya. Bunyi yang kuat, kemunculan acah-acah di latarbelakang dan figura atau makhluk aneh yang keluar dari kegelapan.

Saya dapat merasakan vibes kuat dari filem Final Destination apabila menonton filem “Tarot” ini. Bukan malaikat maut yang memburu mereka tetapi lebih kepada sumpahan yang telah diundang dari kad purba. Katakan kalau saya yang jumpa kad itu memang saya tidak akan sesekali terdetik untuk menyentuhnya. Meskipun bagi saya tahap seram tidak terlalu melimpah-ruah, namun saya suka pada kesudahan cara kematian setiap karektor. Setiap kematian dilakukan dengan gaya kad Tarot yang dilukis semasa bacaan diperdengarkan.

Seperkara yang menyerlah dalam filem ini ialah runut bunyi dari Joseph Bishara. Jika anda peminat filem seram, anda tentu tahu dia lah komposer di sebalik beberapa filem dalam francais The Conjuring dan Insidious. Terdapat lagu up tempo yang hebat sangat membantu menaikkan nuansa filem seram ini, namun malangnya runut bunyi itu tidak mampu menyelamatkan saya dari merasa sedikit hambar apabila dibawa dalam perjalanan sinematik ketakutan yang meremangkan bulu roma.

Introduksi entiti yang dilukis tangan pada kad Tarot seperti Death, The Magician, The High Priestess dan The Fool berjaya menakutkan saya apabila muncul secara nyata untuk menghantui setiap karektor. Muncul dari dalam gelap, mengganas menggunakan jumpscare yang boleh diramal, adalah kekurangan kreativiti yang sangat diperlukan oleh filem seram seperti Tarot untuk membuatnya lebih menakutkan.

Seolah-olah idea separuh masak, yang dihidangkan adalah storytelling membosankan, ulang semula dalam putaran yang sama. Pencahayaan gelap dan pertembungan roh pada waktu malam mungkin sedikit lapuk kalau menurut saya. Jika Cohen dan Halberg lebih inventif dalam pendekatan visual dan naratif untuk menyampaikan set pembunuhan, subjek thematic kad Tarot dan astrologi, ia mungkin menjadi plot cerita yang berbeza sama sekali. Dalam masa yang sama, filem “Tarot” cuba menggali lebih mendalam di luar senario siapa akan mati seterusnya.

Ketika saya merasa tidak pasti dengan plotline, Ilustrator Konsep iaitu Trevor Henderson telah menyelamatkan situasi dengan 8 entiti supernatural yang menambah potensi kepada jalan cerita. Titik fokus filem ini terletak pada 8 entiti tersebut iaitu The High Priestess, The Hermit, The Magician, The Hanged Man, The Fool, Death, Two of Pentacles dan The Devil.

Jom saksikan sendiri “Tarot” di pawagam berdekatan anda. Jangan lepaskan detik-detik ngeri yang mungkin akan menghantui anda.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page