Energi Luar Biasa, ‘Intimasi’ B.I Buat Peminat Histeria
Kim Han-bin atau nama pentasnya, B.I akhirnya merialisasikan impian ‘fandom’ atau peminat tegarnya yang di gelar ‘ID’ menerusi konsert solo pertamanya di Malaysia yang telah berlangsung di Mega Star Arena pada 30 Jun lalu.
Konsert ‘B.I 2024 Tour ‘HYPE UP’ In Kuala Lumpur anjuran Lo- Fi Entertainment sekaligus membuktikan bahawa mantan ketua kumpulan IKON itu masih punya ‘aura’ meskipun bergerak solo pada tahun 2021. Buktinya hampir 3000 peminat memenuhi ruang di Mega Star Arena.
Tepat jam 6.10 petang B.I memanaskan pentas dengan Michelangelo, Alive, One and Only dan Waterfall. Beliau kemudiannya menyapa peminat yang sejak dahulu ingin bertentang mata dengan idola pujaan mereka.
“Apa khabar Malaysia?, anda semua memang luar biasa, terima kasih kerana sudi hadir dan sudah pasti saya merasa cukup teruja”, sapa B.I sebelum meneruskan persembahan dengan Illa Illa yang memaksa ID untuk ‘histeria’ dengan aksi-aksi B.I.
Ternyata energi yang dimiliki oleh B.I cukup luar biasa apatah lagi setiap lagu yang dipersembahkan turut mempamerkan koreografi yang rumit dan mengikuti irama yang cepat. Seolah terbius dengan energinya.
Tidak berseorangan B.I yang ditemani ID turut menari mengikut ‘melo’ lagu yang dipersembahkan, malahan semangat yang di lontarkan menjadi pemangkin untuk B.I terus bernyanyi hampir 30 buah lagu sehingga ke penghujung konsert.
Antusias yang tidak berbelah bahagi nyata mendapat imbalan yang ‘positif’ daripada B.I, lantaran itu tidak hairanlah mengapa beliau seringkali turun daripada pentas untuk ‘berintimasi’ bersama ID yang selama ini menyokong karier seninya.
Aksi B.I turun dari pentas dan menghampiri peminat dari semua kategori tiket, memberikan mereka kesempatan melihat dan memotret ‘nostalgia’ bersama.
B.I juga berkolaborasi dengan LEO, juga seorang bintang Korean Hip-Hop (KHH). Pretty Plzzz menjadi pilihan dimana lagu tersebut merupakan lagu kolaborasi B.I bersama LEO yang dirilis pada Mei 2024.
LEO tampil dengan 2 buah lagu yang berjudul Come Closer dan Farewell yang turut menjentik emosi khalayak yang di dodoikan dengan karya-karya B.I.
ID seakan histeria apabila B.I tampil dengan jeans pendek sekaligus memberi tamparan hebat dengan seleksi medley Born, Hater dan Smoke. Lebih mengujakan para ID adalah ketika beliau mengumumkan akan mempersembahkan 2 buah lagu baharu yang bakal di lancarkan tidak berapa lama lagi.
Sebelum lagu Nineteen dipersembahkan, beliau telah memilih penonton yang berusia 19 tahun secara rawak di kalangan ID yang hadir. Dengan rasa ‘basa basi’ B.I menghampiri peminat bertuah tersebut. Tidak hairanlah mengapa B.I terlalu dekat dengan para penggemarnya.
Konsert yang berdurasi lebih 2 jam 30 minit itu sarat dengan mainan cahaya yang melatari setiap lagu yang dipersembahkan selain ‘video mapping’ yang turut menghidupkan suasana sepanjang tempoh konsert ‘B.I 2024 Tour ‘HYPE UP’ In Kuala Lumpur.
Sebagai informasi, siri jelajah HYPE UP B.I sudah berlangsung di beberapa buah negara antaranya Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Hong Kong.