“Empat Live In Kuala Lumpur”, Satu Simbolik Warisan dan Evolusi Suara

Ziana, Anuar, Ernie & Syamel Bersatu Dalam Simfoni Kasih
Kredit Foto: Anuar Zain Network
Ada sesuatu yang magis apabila empat jiwa seni bertemu di atas satu pentas bukan sekadar untuk menyanyi, tetapi untuk berkongsi sejarah, kasih, dan semangat yang membentuk perjalanan seni mereka. Itulah yang dirasakan pada malam ‘Empat Live In Kuala Lumpur 2025’, apabila Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bersatu dalam sebuah persembahan yang menandai revolusi suara dan warisan dalam industri muzik tanah air.

Konsert yang telah berlangsung pada 18 Oktober itu menghimpunkan lebih 4,500 jiwa-jiwa yang hadir menyaksikan sejarah kecil yang besar maknanya. Mega Star Arena diterangi cahaya biru dan ungu lembut, keheningan malam dipecahkan oleh vokal Ernie Zakri yang membuka tirai dengan “Ku Bersuara” satu simbol tentang keberanian dan kejujuran seorang penyanyi wanita dalam mengungkap jiwa.

Suasana kemudian berubah dengan kemunculan Syamel yang memanaskan pentas melalui “Lebih Sempurna”, diikuti Ziana Zain dengan “Madah Berhelah” lagu yang tidak pernah hilang pesonanya dan akhirnya Anuar Zain yang mengunci tumpuan dewan dengan “Keabadian Cinta”.
Empat lagu pembuka itu seperti prolog kepada babak perjalanan seni mereka empat suara, empat jiwa, satu denyut yang berpadu indah.
Konsert ini bukan sekadar persembahan empat penyanyi; ia adalah pertemuan dua generasi muzik Melayu moden.


Ziana dan Anuar, lambang kehalusan vokal dekad 1990-an, tampil dengan kewibawaan yang tidak pudar vokal mereka masih seperti ‘telan kaset’, kata seorang penonton dengan bangga.
Sementara Ernie dan Syamel, pasangan muda berbakat yang mewakili era baharu, tampil penuh tenaga dan emosi membuktikan bahawa kesinambungan seni tidak pernah terputus, hanya berevolusi.

Dari “Menadah Gerimis” hingga “Sedetik Lebih”, dari “Beribu Tanda Tanya” hingga “Masing-Masing”, setiap lagu disampaikan dengan interpretasi segar. Ada saatnya mereka bertukar lagu menyanyikan karya satu sama lain dan dari situ lahirlah bentuk baru ekspresi muzik yang seolah mengaburkan batas antara pemilik asal dan penyampai baharu.
Namun, Empat Live In Kuala Lumpur bukan hanya tentang suara. Ia tentang manusia di sebalik suara.
Ketika Ziana mengusik Anuar dengan gelaran “Pak Ngah”, dan Syamel memanggilnya “Tokey Panggung”, penonton ketawa beramai-ramai. Ziana pula digelar “Mak Long” satu gelaran yang seolah menandakan kedewasaan dan kasih yang menaungi seluruh persembahan malam itu.
Gelak tawa dan usik-mengusik itu menjadikan konsert ini terasa intim, seolah-olah penonton diundang ke dalam keluarga mereka sendiri keluarga yang diikat oleh cinta kepada muzik dan kasih sesama insan.

“Walaupun terpaksa bergelut dengan pelbagai ujian membabitkan diri, anak-anak, ahli keluarga dan sahabat, Allah sentiasa beri kekuatan untuk terus hidup dan menjayakan konsert ini.” Ujar Ziana Zain.
Kata-kata itu disambut sorakan dan tepukan panjang bukan sekadar tanda sokongan, tetapi empati terhadap seorang penghibur yang terus berdiri walau diuji.
Sementara Anuar Zain, dengan nada lembut dan penuh jiwa, mengungkap rasa syukur:
“Konsert ini untuk anda semua. Terima kasih kerana sentiasa bersama kami. Mungkin selepas ini… Empat akan kembali di tempat yang lebih besar.”

Sungguhlah, keakraban mereka terserlah apabila gurauan ketika masing-masing mencari kelab peminat disambut meriah oleh penonton yang melaung-laungkan nama kelab seperti Ernienators, Syamil Lovers, Ziana Folks dan paling dinanti pastinya Anuar Zain FC.
Dari sudut produksi, Empat Live In Kuala Lumpur berdiri megah dalam keindahan teknikalnya.
Di bawah arahan Jennifer Thompson selaku pengarah konsert dan Lee Sze Wan sebagai pengarah muzik, setiap susunan lagu, peralihan tempo, pencahayaan serta harmoni vokal dirancang dengan teliti.





Pencahayaan lembut yang berganti dengan limpahan warna dramatik mencipta nuansa bagi setiap emosi lagu. Dalam “Hamba Cinta”, misalnya, ton cahaya keemasan menyerlahkan kehangatan dan pengorbanan, manakala “Lelaki Ini” diserikan dengan pancaran biru gelap yang membawa aura introspektif.
Antara yang hadir memberi sokongan pada malam tersebut ialah Datuk Hattan, Edry Abdul Halim, Noryn Aziz, dan Salamiah Hassan nama-nama yang sendiri mewakili pelbagai era dalam industri muzik tempatan. Kehadiran mereka menjadi simbol solidariti dan semangat kekeluargaan dalam dunia seni yang sering kali dirasakan kecil namun penuh kasih.

Tatkala nota terakhir “Jangan Henti” berkumandang, penonton berdiri memberi tepukan panjang. Ada yang menitis air mata, ada yang tersenyum puas. Empat suara, empat kisah, satu semangat.
Dan mungkin, seperti kata Anuar, malam itu bukan penamat tetapi permulaan kepada sebuah evolusi baharu dalam seni persembahan tanah air.