‘Empat Live In Kuala Lumpur 2025’: Medan ‘Tempur’ Buat Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel

Tiket Boleh Didapati Menerusi www.ticket2u.com.my/empatkl Mulai 25hb April 2025 Jam 10.00 Pagi.
Satu detik bersejarah bakal terpahat dalam industri muzik tanah air apabila empat nama besar dalam dunia hiburan Malaysia bergabung dalam satu konsert eksklusif yang menyatukan darah, bakat dan semangat kekeluargaan. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar sebuah persembahan pentas tetapi ia adalah simbol kasih sayang, silaturahim dan penghormatan terhadap warisan muzik yang merentasi generasi.
Anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse, konsert ini menyaksikan kolaborasi julung kali antara adik-beradik tersohor Ziana Zain dan Anuar Zain, bersama anak saudara mereka, Ernie Zakri, dan menantu keluarga seni tersebut, Syamel. Pementasan ini bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2025 dan dijangka menjadi antara konsert paling dinanti-nantikan tahun ini.
“Ini bukan tentang kami semata-mata, tetapi tentang keluarga, tentang cinta dan tentang bagaimana muzik menyatukan generasi,” ujar Anuar Zain, yang menganggap konsert ini sebagai impian yang tertangguh selama beberapa tahun akibat kekangan jadual dan komitmen profesional.
Bagi Ziana Zain pula, yang turut dikenali sebagai pelantun lagu Madah Berhelah, konsert ini adalah sebuah ‘temasya kasih’ yang bakal meraikan muzik dari dua generasi bersama para peminat. “Saya mahu mereka pulang dengan kenangan yang manis, momen yang magis,” katanya, penuh semangat.
Sebagai penyanyi muda yang kini turut menjadi tunjang utama industri muzik Malaysia, Ernie Zakri tidak menafikan perasaan gementar untuk berkongsi pentas bersama ikon yang telah menjadi inspirasinya sejak kecil. “Saya membesar menyaksikan perjuangan seni ibu dan bapa saudara saya. Kini, dapat berada di pentas bersama mereka, ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan,” katanya, penuh emosi.
Manakala Syamel pula melihat peluang ini sebagai titik penting dalam perkembangan karier seninya. “Saya percaya energi kami berempat mampu mencetuskan sebuah persembahan yang bukan sahaja bertenaga, tetapi penuh makna.”
Dikemudi oleh Jennifer Thompson selaku pengarah konsert dan Sze Wan sebagai pengarah muzik, produksi Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dijanjikan sebagai sebuah persembahan premium yang membawa elemen sinematik dan emosi yang kuat. “Empat personaliti yang sangat berbeza, namun bila digabungkan, mereka mencipta satu magis yang sukar ditandingi,” jelas Jennifer.
Penonton bakal disajikan dengan rangkaian lagu ikonik dari era 1990-an hingga masa kini, merangkumi pelbagai genre yang mencerminkan kekuatan vokal dan karakter setiap penyanyi. Kolaborasi khas, mashup istimewa dan medley klasik dijangka menjadi antara segmen paling dinanti.
Tiket-tiket berharga RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP) dan RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket) sudah boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.my/empatkl mulai 25hb April 2025 jam 10.00 pagi.

Istimewa buat golongan kelainan upaya (OKU), anda mempunyai ‘talian’ khas dengan menghubungi hotline +6011-1190 0518 untuk mendapatkan tiket Empat Live In Kuala Lumpur 2025 .