June 14, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025”, Dua Generasi, Satu Pentas, Satu Legasi

Spread the love

Empat nama besar dalam industri muzik Malaysia Anuar Zain, Ziana Zain, Ernie Zakri, dan Syamel  bakal menyinari malam seni menerusi Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025. Acara eksklusif ini dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober 2025 (Sabtu), jam 8:30 malam, bertempat di Mega Star Arena, Bukit Bintang .

Konsert eksklusif ini bukan sekadar pertunjukan hiburan, sebaliknya menjadi manifestasi kasih sayang, nilai kekeluargaan dan penghormatan terhadap legasi seni suara tempatan. Ia mengangkat keindahan muzik merentas zaman dan menyatukan dua generasi artis dalam satu persembahan yang dijangka menjadi antara yang paling dinanti tahun ini.

Dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, EMPAT menjanjikan pengalaman persembahan yang sarat emosi daripada kenangan klasik era 90-an, ke gemerlapan suara masa kini, hingga aspirasi masa depan muzik tanah air.

Kehadiran dua ikon balada 90-an, Anuar Zain dan Ziana Zain, digandingkan dengan pasangan popular Ernie Zakri dan Syamel, mencipta sinergi luar biasa yang melangkaui generasi.

“Konsert ini bukan tentang siapa lebih lama atau lebih baru. Ia satu bentuk penghargaan sesama artis. Kami menyanyi bukan sebagai individu, tetapi sebagai satu keluarga seni,” ujar Ziana Zain yang dikenali dengan vokal lantang dan kehadiran pentas memukau.

Sementara itu, Anuar Zain menzahirkan rasa syukur dapat berkongsi pentas bersama adik kandungnya serta dua bintang muda berbakat besar.

“Tiada tekanan langsung. Apa yang kami ada hanyalah rasa hormat dan kasih. EMPAT bukan sekadar konsert, tapi kenangan yang kami cipta bersama,” katanya ketika ditemui media di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu.

Konsert EMPAT dilihat sebagai penyatuan dua era dalam muzik Malaysia, era keemasan balada romantik dan era moden yang kaya dengan teknik vokal dan ekspresi artistik. Ernie Zakri menyifatkan peluang ini sebagai salah satu pencapaian tertinggi dalam kariernya.

“Saya membesar dengan lagu-lagu Kak Ziana dan Abang Anuar. Kini, bukan sahaja dapat berkongsi pentas, malah kami berbincang idea dan menyusun persembahan bersama. Ini momen yang sangat peribadi,” kata pemenang vokal terbaik itu.

Bagi Syamel pula, EMPAT menjadi platform untuk memperlihatkan kepelbagaian muzik dan kekuatan persembahan secara langsung.

“Kami cuba seimbangkan antara balada, pop moden dan elemen kontemporari agar semua lapisan umur dapat merasai kepuasan. Konsert ini bukan sekadar nostalgia, tapi juga tentang masa depan muzik kita,” ujarnya.

Disusun dengan teliti, konsert ini menawarkan struktur persembahan yang membawa penonton melalui pelbagai lapisan emosi. Antara segmen paling dinanti ialah duet antara Ziana dan Ernie , simbol dua generasi suara wanita  serta gandingan maskulin penuh emosi antara Anuar dan Syamel.

Kemuncak konsert bakal menyaksikan keempat-empat artis bergabung dalam lagu penutup, menyampaikan mesej perpaduan, harapan dan kasih dalam dunia seni.

Menurut Ziana, setiap keputusan persembahan dilakukan secara kolektif tanpa sebarang keutamaan individu.

“Kami bincang lagu sama-sama. Tiada ego. Semua diberi ruang yang adil. Itulah cantiknya EMPAT — kita saling menghormati dan mahu yang terbaik untuk konsert ini, bukan untuk diri sendiri,” katanya.

Nama EMPAT bukan hanya mencerminkan bilangan artis, tetapi juga empat elemen yang mendasari keseluruhan produksi ini.  EMPAT adalah akronim bagi Emosi – setiap lagu dipersembahkan dengan jiwa dan keikhlasan. Memori – mengimbau zaman kegemilangan lagu-lagu legenda. Perpaduan – melambangkan hubungan kekeluargaan dan kerjasama merentas generasi. Aspirasi – menjadi inspirasi kepada bakat muda dalam mengejar kejayaan berasaskan kerja berpasukan.

Dibarisi pasukan produksi profesional dengan pendekatan moden dalam susunan muzik, pencahayaan dan konsep pentas, Konsert EMPAT bersedia mencipta sebuah malam yang bukan sahaja indah dari sudut sonik, tetapi juga emosional dan berimpak jangka panjang.

Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025 adalah lebih daripada sekadar malam hiburan. Ia adalah celebration of love, perjalanan hidup dalam muzik, dan penghormatan kepada kekayaan seni suara Malaysia yang tidak ternilai.

Peminat boleh mendapatkan tiket yang telah dijual mulai 25 April lalu menerusi Ticket2U. Sebaik pelancaran, beberapa kategori terus habis dijual dalam masa singkat, bagi kategori VIP – RM1,088, Diamond – RM888, Platinum – RM688 (Kategori Gold, Silver dan Bronze telah HABIS dijual.)

Bagi peminat muzik tanah air, inilah peluang untuk menyaksikan keikhlasan, kekuatan kolaborasi dan magis sebenar yang terhasil apabila empat suara hebat disatukan dalam satu malam yang dijanjikan kekal dalam ingatan selama-lamanya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page