EMPAT – Jangan Henti: Hadiah Istimewa Menjelang Malam Bersejarah 18 Oktober Ini

EMPAT, gabungan empat bintang legenda dan generasi baharu tanah air iaitu Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel. Mereka kini tampil dengan hadiah istimewa buat peminat menerusi lagu baharu berjudul Jangan Henti.
Dicipta oleh Edry Abdul Halim dengan lirik nukilan bersama Syamel, Ernie dan Edry, lagu ini dihasilkan dengan kerjasama Anuar Zain Network Sdn Bhd, Ziana Zain Network Sdn Bhd serta Universal Music Sdn Bhd. Jangan Henti bakal tersedia di semua platform digital pada minggu hadapan.
“Jangan Henti adalah hadiah terbaru daripada kami buat para peminat. Ia lahir daripada kasih, semangat dan penghargaan kami terhadap sokongan anda yang tidak pernah putus. Semoga irama ini menjadi pengikat kenangan indah menjelang Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025,” ujar EMPAT dalam kenyataan rasmi.
Bersempena pelancaran lagu tersebut, EMPAT akan mengadakan acara eksklusif pada 4 Oktober 2025 (Sabtu), jam 12 tengah hari di Centre Court, Sungei Wang Plaza. Acara ini akan menampilkan tayangan perdana muzik video Jangan Henti serta peluang istimewa untuk bertemu secara dekat dengan EMPAT.
Sebanyak 70 peminat bertuah berpeluang menyertai sesi foto peribadi bersama EMPAT, termasuk menerima poster eksklusif bertandatangan. Sekiranya anda adalah antara 50 terawal yang hadir dengan bukti pembelian tiket konsert dan 20 terawal yang membeli tiket konsert di lokasi acara.


Selain itu, poster bertandatangan tambahan juga akan disediakan untuk peminat lain selagi stok masih ada.
“Setiap anda yang hadir bukan sekadar memberi sokongan, tetapi menjadi sumber kekuatan dan semangat buat kami. Sokongan ini adalah inspirasi yang akan membawa tenaga dan doa agar konsert nanti menjadi kenangan terindah,” kata EMPAT.
Acara ini menjadi pemanas semangat sebelum persembahan utama. Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025 yang bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Konsert ini dijangka menjadi malam penuh magis dengan gabungan empat suara emas dalam satu pentas, mencatat detik bersejarah buat industri muzik tempatan.
Tiket konsert boleh dibeli di www.ticket2u.com.my/empatkl.