November 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ella Terajui Konsert “A Night To Remember” Bagi Meriahkan Road To Visit Johor 2026

Spread the love

Masdo dan Exists Turut Beraksi Di Stadium Tertutup Arena Larkin Pada 14 Disember Ini

Johor bakal menjadi tumpuan peminat muzik tanah air apabila konsert bertajuk “A Night To Remember” kembali untuk edisi kedua pada 14 Disember 2024 di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor. Konsert ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Road To Visit Johor 2026 dan hasil kolaborasi istimewa dengan Tourism Johor.

Penganjuran konsert ini bertujuan untuk mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan yang menarik, sekaligus menyokong usaha kerajaan negeri dalam menarik lebih ramai pelancong menjelang tahun 2026.

Kemuncak acara ini adalah persembahan daripada ikon rock negara, Ella, yang akan menerajui konsert tersebut bersama Kugiran Masdo dan Exists. Konsert ini menjanjikan malam yang penuh nostalgia dengan persembahan yang mengagumkan, membawa peminat mengimbau kembali ke era kegemilangan rock tanah air.

Lebih menarik, penganjur konsert A Night to Remember mahu peminat melaram dengan fesyen zaman kegemilangan irama rock atau ‘rocker’ kegemaran pada acara itu. 

David Emir Bareng, Ketua Eksekutif Co:Action Events Sdn Bhd selaku penganjur konsert berkongsi, “A Night to Remember telah menjadi acara yang dinanti-nantikan di mana konsert ini menampilkan barisan artis hebat tanah air kepada para peminat di Johor, Singapura, dan Kepulauan Riau, Indonesia.”

Pengarah Tourism Johor, Tuan Shahril Nizam Abdul Rahim berkata, “Konsert ‘A Night to Remember’ bukan sahaja memeriahkan industri hiburan, tetapi juga membantu mempromosikan Johor sebagai destinasi pilihan untuk acara-acara hiburan bertaraf antarabangsa. Kami bangga dapat menyokong inisiatif yang memperkukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai hab kebudayaan, kesenian dan pelancongan di rantau ini.”

Ratu Rock Ella menyatakan keterujaannya, “Saya sangat gembira kerana dapat mengakhiri tahun ini dengan mencipta momen indah bersama peminat-peminat saya – Ella’s Gang, terutamanya dari selatan tanah air.”

Peminat berpeluang menyanyi dan menari bersama lagu-lagu rock kegemaran mereka, dan mengimbau kembali kenangan indah zaman dahulu. Lebih istimewa, peminat boleh berpakaian seperti artis kegemaran mereka dan menyertai pertandingan di media sosial untuk berpeluang memenangi hadiah menarik.

Tiket konsert telah mula dijual di www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula serendah RM99 sehingga RM399.

Sebagai tambahan, Tourism Johor juga sedang menjalankan kempen untuk meraikan 100 tahun sejak pembinaan jambatan Koswe yang menghubungkan Johor dan Singapura. Kempen ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang lancar bagi peniaga dari kedua-dua wilayah tersebut.

Konsert “A Night To Remember” dijangka akan menarik ribuan penonton dari seluruh negara dan rantau, sekaligus memberi impak positif kepada industri pelancongan dan ekonomi tempatan Johor, menyokong usaha Road To Visit Johor 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page