September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ella Bakal Gegarkan Singapura dengan Konsert ‘Jilid Rockestra’

2 min read
Spread the love

Ratu Rock negara, Ella, yang baru sahaja selesai membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 9 dan 11 Ogos, kini bersedia untuk meneruskan siri konsertnya ke Kota Singa. Konsert tersebut, yang diberi nama ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia (Singapura)’, akan berlangsung pada 12 Oktober 2024 di The Star Theatre. Acara ini dianjurkan oleh syarikat penganjur terkemuka, Hitman Solutions, bersama RockQueen.

Dua hari konsert ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ di Plenary Hall, KLCC, telah menarik seramai 6,000 peminat yang hadir untuk menyaksikan persembahan Ella dengan lebih daripada 30 buah lagu. Konsert ini menampilkan kelainan dengan Ella mempersembahkan lagu-lagu klasik bersama artis undangan Haziq Rosebi pada hari pertama dan Dayang Nurfaizah pada hari kedua.

Bagi memenuhi permintaan peminat-peminat Ella di Singapura, pihak penganjur berhasrat untuk memberikan yang terbaik kepada semua penonton yang hadir. Ella turut berkongsi perasaannya, “Saya ingin ke Singapura lagi bagi melepas rindu bersama semua peminat di sana sebagai tanda penghargaan di atas sokongan mereka yang tidak berbelah bagi setelah sekian lama.”

Siri konsert sebelum ini, ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota (Singapura)’, mendapat sambutan luar biasa dengan tiket yang habis dijual untuk kedua-dua malam konsert tersebut.

Ella akan terus bekerjasama dengan Dato’ Acis sebagai pengarah muzik bersama barisan pemuzik profesional. Tema solidariti akan dikekalkan dalam setiap konsertnya. “Malam konsert nanti bertemakan rona hitam, putih, merah, dan hijau sebagai tanda sokongan kita yang tidak henti-henti buat rakyat Palestin,” kata Ella.

Peminat Singapura yang bakal menghadiri konsert ini akan disajikan dengan malam yang gilang-gemilang, dipenuhi dengan susunan lagu-lagu hits Ella sepanjang penglibatannya dalam bidang seni. Persembahan ini dijanjikan akan menjadi pengalaman yang unik, dengan gabungan muzik dari band rock dan orkestra yang hebat.

Ella turut meluahkan rasa syukurnya, “Saya bersyukur di atas izin-Nya dengan nikmat kesihatan dan masih berpeluang menghiburkan ramai orang. Gabungan band rock dan orkestra memerlukan banyak usaha dan kerja yang teliti. Insya-Allah, saya akan berikan yang terbaik dan jangan lupa dengan janji kita di konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia (Singapura) pada 12 Oktober nanti di The Star Theatre.”

Rohit Rampal, Pengasas & Ketua Pengarah Eksekutif Hitman Group, turut berkongsi pandangannya, “Ella bukan sahaja Ratu Rock tetapi dia juga Ratu ‘Sold-Out’, dan kami sangat terharu serta bersyukur melihat peminat-peminat Ella yang tidak pernah jemu-jemu menyaksikan persembahan beliau secara langsung.”

Rohit juga menekankan bahawa konsert ini direka untuk memberikan pengalaman yang lebih intim bersama peminat, dengan konsep gabungan rock dan orkestra yang eksklusif. “Kami menjanjikan pengalaman yang istimewa dari segi rekaan pentas, penataan cahaya, dan sistem bunyi yang canggih bagi kepuasan semua yang menontonnya,” tambahnya.

Sebarang pertanyaan berkenaan konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia (Singapura) boleh dibuat dengan menghubungi 012-265 5783.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page