Durian King TTDI Kembali Beroperasi Selepas 14 Bulan Ditutup Akibat Salah Faham Lesen
Gerai Durian Popular TTDI Selesai Salah Faham, Kini Dibuka Semula Dengan Tawaran Lebih Menarik
Selepas lebih 14 bulan dihentikan operasi akibat isu salah faham berkaitan lesen perniagaan, gerai durian popular Durian King TTDI kini dibuka semula dan kembali menerima kehadiran pelanggan.
Sejak beroperasi pada 2015, Durian King TTDI menjadi antara destinasi pilihan warga Lembah Klang untuk menikmati durian segar serta menu cendol durian yang terkenal dengan saiz hidangan besar dan kualiti premium. Penutupan gerai berkenaan sejak tahun lalu menimbulkan persoalan dalam kalangan pelanggan setia yang tertanya-tanya mengenai status perniagaan tersebut.

Menurut kenyataan pihak pengurusan, penarikan lesen oleh pihak berkuasa ketika itu berlaku akibat salah faham antara kedua-dua pihak. Isu berkenaan berjaya diselesaikan selepas proses rayuan bersama Pejabat Ahli Parlimen Segambut, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta sokongan padu daripada Menteri Pertanian yang memahami kepentingan industri durian kepada petani, pemandu, keselamatan makanan dan peluang pekerjaan.
Pemilik Durian King TTDI, Erik Ong, turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu, khususnya Menteri Wilayah serta Persatuan Penduduk TTDI yang banyak memberi sokongan sehingga pembukaan semula ini dapat direalisasikan.


Antara tarikan utama yang kembali ditawarkan termasuk cendol durian ‘signature’ serta durian segar dari pelbagai ladang, termasuk sumber harian dari ladang seluas 95 ekar di Selangor Fruit Valley. Varieti premium seperti Black Thorn dan Musang King turut tersedia untuk pelanggan.
Selain itu, Durian King TTDI turut menerima sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan negeri itu sebagai hab pengeluaran durian utama negara.

Tahun 2025 menandakan satu dekad Durian King TTDI beroperasi. Bermula sebagai syarikat pengurusan acara, perniagaan ini berkembang ke sektor pertanian dan penjualan durian.
Pihak pengurusan turut menegaskan komitmen terhadap peluang pekerjaan untuk anak muda tempatan, selaras dengan peraturan DBKL sejak 2020 yang melarang pekerja asing menjual durian. Menurut mereka, meskipun cabaran wujud, inisiatif itu berjaya memberi manfaat kepada belia termasuk lepasan SPM.




Syarikat itu juga memaklumkan bahawa harga durian kini lebih rendah berikutan lambakan hasil dan kesan banjir yang menjejaskan pekebun. Pembukaan semula Durian King TTDI diharap dapat membantu meningkatkan permintaan dan seterusnya menyokong petani tempatan.
Waktu Operasi Rasmi
Isnin – Jumaat: 5.00 petang – 12.00 tengah malam
Sabtu, Ahad & Cuti Umum: 2.00 petang – 12.00 tengah malam
Sebarang pertanyaan atau tempahan boleh dibuat melalui talian 016-274 6474.
Menurut pihak pengurusan, matlamat utama pembukaan semula ini ialah untuk mengembalikan keyakinan pelanggan setia serta menarik pelanggan baharu, sekali gus memastikan Durian King TTDI kekal sebagai lokasi utama untuk menikmati durian berkualiti dengan harga berpatutan.
