Dua Ikon Muzik Indonesia Bersatu: Konsert ‘ADA’ Menanti Peminat Malaysia
Peminat muzik di Malaysia bakal dihiburkan oleh dua nama besar industri muzik Indonesia, Afgan dan Lyodra, dalam sebuah konsert epik yang berjudul ‘ADA AFGAN & LYODRA: LIVE IN KUALA LUMPUR’ pada tarikh 28 September 2024 ini di Megastar Arena, KL, dibawakan khas oleh syarikat penganjur konsert terkemuka negara, Kharisma Music (KM) bersama-sama jenama kosmetik popular tanah air iaitu Alha Alfa, dengan Intan Gelombang dan Futurace.
Menurut En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, katanya, “Buat pertama kalinya di Malaysia, kami gandingkan dua penyanyi ‘top’ Indonesia dalam satu pentas buat tatapan khas penonton di Malaysia.
Idea disebalik penganjuran konsert ini terbit dari single duet Afgan dan Lyodra berjudul ‘Ada’ yang telah diluncurkan hampir setahun lalu dengan respon yang luar biasa dari pendengar.
“KM sentiasa ke depan dalam menyajikan hiburan secara ‘live’ dalam bentuk fizikal buat peminat muzik di Malaysia, dan apabila melihat keserasian Afgan dan Lyodra berduet dalam ‘Ada’ membuat kami (KM) teruja untuk menggandingkan mereka berdua dalam sebuah konsert buat pertama kalinya di Malaysia.
“Selain itu Afgan merupakan penyanyi yang tidak asing lagi di Malaysia dan mempunyai ‘fanbase’ yang kuat di sini, manakala Lyodra pula merupakan juara Indonesian Idol 2020 yang seangkatan dengan Mahalini, Tiara Andini dan Ziva Magnolya,” kata En. Ahmad Jeffny.
Pada malam konsert nanti, penonton bakal disajikan dengan hiburan tanpa henti yang berdurasi selama 2 jam 30 minit dengan 20 buah lagu yang akan dipersembahkan bersama iringan 12 pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia, dan menariknya, Afgan dan Lyodra sendiri yang akan merencanakan koordinasi muziknya.
Tambah En. Ahmad Jeffny, “Penonton konsert berpeluang menikmati susuan muzik yang digubah khas oleh mereka berdua yang belum pernah didengarkan di mana-mana acara sebelum ini.
“Setakat ini, identiti penyanyi jemputan masih lagi dirahsiakan dan akan diumumkan kelak ketika majlis sidang media, dan pastinya ada kejutan bagi penonton yang hadir, jadi rugi buat mereka yang terlepas membeli tiket konsert.
“KM berharap penonton yang hadir dapat menyaksikan sendiri ‘sepasang’ bakat besar dari Indonesia secara ‘live’, dan pastinya malam konsert nanti menjanjikan persembahan dan paduan suara yang memukau.
Buat tahun 2024, KM sedang dalam perancangan untuk menganjurkan lebih banyak konsert dan akan mula mengadakan beberapa siri konsert di luar negara seperti Indonesia dan juga Singapura pada tahun hadapan.
Tiket-tiket untuk konsert “ADA AFGAN & LYODRA: LIVE IN KUALA LUMPUR” telah mula dijual pada 10 Julai 2024 di laman web www.ticket2u.com.my/afganlyodra. Beberapa kategori tiket, seperti VVIP dan VIP, telah habis terjual dalam masa beberapa hari sahaja. Namun, tiket bagi kategori lain masih boleh didapati tetapi dalam kuantiti yang terhad. Kategori tiket yang masih tersedia adalah seperti berikut: Pesan Terakhir (RM258), Escape (RM338), Sang Dewi (RM458), dan Panah Asmara (RM488).