February 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dream Theater Buktikan ‘Legenda’ Tidak Pernah Tua

Spread the love

Sempena Jelajah Ulang Tahun Ke-40, legenda progressive metal Dream Theater membakar pentas Zepp Kuala Lumpur pada malam 4 Februari 2026 dengan sebuah persembahan yang bukan sekadar konsert tetapi satu pengalaman muzik yang berpaksikan progresive buat peminat tempatan.

Seluruh venue dipenuhi deruman sorakan sebaik riff pembuka berbunyi, menandakan kemunculan semula barisan klasik Dream Theater yang diterajui James LaBrie (vokal), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Portnoy (dram).  Band legenda ini menterjemahkan ulang tahun ke-40 mereka bukan sebagai nostalgia, tetapi sebagai pernyataan bahawa api kreativiti masih menyala.

Tanpa artis pembuka tirai, Dream Theater memilih untuk berbicara terus melalui muzik. Hampir tiga jam diperuntukkan sepenuhnya kepada karya dan idea, seolah-olah mengajak penonton menyelami dunia mereka tanpa gangguan. Dewan penuh menjadi saksi bagaimana sebuah band veteran masih berani mencabar kesabaran, kefahaman dan imaginasi pendengar.

Dream Theater membuka malam dengan rentak In the Arms of Morpheus dan terus membawa penonton merentas pelbagai mood dari balada berlapis pada Night Terror dan A Broken Man, ke hentakan metal progresif pada Dead Asleep dan The Enemy Inside.

Riff-riff Peruvian Skies serta Scene Six: Home disambut sorakan penuh semangat, bukti hubungan istimewa antara band dan peminat Malaysia yang terkenal setia terhadap muzik yang kompleks dan mendalam.

Kemuncak malam ialah A Change of Seasons, karya epik tujuh bahagian yang menjadi penutup khas buat ulang tahun mereka. Lagu ini bukan hanya menutup konsert, tetapi juga ibarat sebuah dokumen perjalanan musikal Dream Theater yang membentang 40 tahun.

Mata khalayak sudah pasti tertumpa pada pemain dram yang menjadi wajah teknikal Dream Theater, Mike Portnoy mengemudi dram dengan ketepatan luar biasa, memecahkan struktur masa dan rentak tanpa kehilangan kawalan. John Myung kekal tenang di posisi bass, menjadi paksi keseimbangan kepada kekacauan terancang di sekelilingnya. Jordan Rudess pula menjadikan papan kekunci sebagai medium penceritaan, dengan solo yang berlapis dan eksperimental, dimainkan di atas set yang berputar dan condong, seolah-olah mencerminkan ketidaktentuan emosi.

John Petrucci, seperti dijangka, terus memimpin naratif gitar dengan ketajaman dan kehalusan. Daripada petikan arpeggio yang melankolik ke riff metal yang menghentam, setiap nota disusun dengan disiplin tinggi. James LaBrie pula mengisi ruang vokal dengan penuh karakter, kadangkala menghilang dari pentas ketika segmen instrumental panjang, memberi ruang kepada muzik berbicara sendiri.

Gabungan pencahayaan, laser dan asap disusun dengan teliti, bukan untuk menutup kekurangan, tetapi menegaskan dramatik persembahan. Video pengenalan lagu dan visual tematik berfungsi sebagai jambatan emosi antara satu karya dan karya lain, menjadikan konsert ini lebih hampir kepada sebuah pengalaman teater bunyi dan cahaya.

Antara detik paling mencengkam ialah lagu bertenaga Dead Asleep serta karya epik hampir 20 minit, The Shadow Man Incident, yang memperlihatkan keberanian Dream Theater membina lagu sebagai perjalanan panjang, bukannya sekadar hiburan segera.

Selepas rehat singkat selama 15 minit, set kedua membuka ruang nostalgia yang terkawal. Lagu seperti As I Am dan The Enemy Inside membangkitkan sorakan, namun disampaikan dengan tenaga yang masih segar. Mereka membuktikan bahawa usia sekadar angka namun energi yang diperolehi digarap menjadi beberapa fasa metal yang berlapis, membuktikan keupayaan band mengolah emosi secara dinamik.

Momen improvisasi paling diraikan hadir menerusi La Gazza Ladra (karya klasik oleh Gioachino Rossini) dimana ianya bukan sebagai gimik, tetapi penghormatan terhadap muzik yang membentuk perjalanan mereka.

Konsert ditutup dengan Take the Time, sebelum encore yang menjadi kemuncak spiritual malam itu — A Change of Seasons. Karya tujuh bahagian berdurasi 23 minit ini bukan sekadar lagu, tetapi manifestasi falsafah Dream Theater tentang kehidupan, perubahan dan penerimaan masa.

Sepanjang hampir tiga jam persembahan, penonton tidak sekadar menonton, tetapi mendengar dengan penuh takzim. Sorakan hadir setiap kali solo disempurnakan, didukung oleh sistem bunyi yang jernih, membolehkan setiap lapisan muzik dinikmati tanpa tenggelam.

Empat dekad berlalu, Dream Theater masih setia kepada prinsip yang sama dimana muzik sebagai disiplin, cabaran dan pencarian makna.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page