January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dr. Halim Ikhsan & Kmy Kmo Lancar “Tanda Kasih”

Spread the love

Lagu terbaharu berjudul “Tanda Kasih” nyanyian Dr. Haji Halim Ikhsan bersama Kmy Kmo kini diperkenalkan sebagai runut bunyi rasmi (OST) bagi filem aksi Penghukum: Nusantara Assassin, arahan Azlan Norani dan diterbitkan oleh Terang Films serta PMD Production.

Dicipta oleh Kmy Kmo dan Luca Sickta dengan lirik tulisan Kmy Kmo serta Dr. Haji Halim Ikhsan, lagu ini membawa perjalanan rohani dan emosi seorang insan yang mencari ketenangan selepas berdepan pelbagai ujian kehidupan. Ia mengetengahkan makna kasih dan rahmat Allah sebagai cahaya penyembuh hati, antaranya melalui bait bermakna: “Lekak-lekuk, kusut-murut, yang hanya singgah tuk sementara, tanda kasihNya.”

Filem Penghukum: Nusantara Assassin, yang dijadual ditayangkan pada 20 November 2025, mengisahkan Dzul, seorang datuk yang menjaga cucunya Yasmin sebelum tragedi menimpa apabila Yasmin diculik oleh Zahin. Tanpa pengetahuan umum, Dzul sebenarnya ialah Salahuddin, bekas ahli kumpulan pembunuh upahan rahsia dikenali sebagai Bookmaker di bawah organisasi Pustakalayah. Tema keinsafan, dendam dan pengampunan dalam filem tersebut selari dengan mesej yang dibawa melalui “Tanda Kasih”, menjadikan lagu itu gema perjalanan batin watak utama menuju sinar taubat.

Menggabungkan unsur spiritual, introspektif dan muzik moden, nyanyian Dr. Haji Halim Ikhsan membawa elemen ketenangan, manakala sentuhan Kmy Kmo melengkapkan dimensi jiwa manusia moden yang sering tercari-cari makna hidup. Hasilnya, “Tanda Kasih” tampil bukan sekadar karya berunsur dakwah, tetapi refleksi jujur pencarian makna kasih dan ketabahan.

Dr. Haji Halim Ikhsan dan Kmy Kmo turut merakamkan penghargaan kepada para pendengar atas sokongan berterusan sambil menitipkan pesanan, “Jika Allah masih memberi rasa untuk kembali kepadaNya, itulah tanda kasih sebenar.”

Luncai Emas Sdn. Bhd. merupakan pengedar digital rasmi serta pentadbir hak cipta bagi lagu OST ini. Kmy Kmo, Luca Sickta dan Dr. Haji Halim Ikhsan turut bernaung sebagai komposer dan penulis lirik eksklusif di bawah syarikat tersebut. Lagu “Tanda Kasih” akan dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas pada jam 9 malam, 7 November 2025, manakala siaran penstrimannya kini sudah tersedia di semua platform digital.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page