May 24, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dr. Alban Gegarkan Zepp Kuala Lumpur Dengan Nostalgia Eurodance

Spread the love

Bagaikan mesin masa yang membawa penonton merentasi tiga dekad ke belakang, Dr. Alban membuktikan bahawa muzik bukan sekadar bunyi – ia adalah memori, nostalgia, dan penghubung jiwa antara masa lalu dan masa kini.

Suasana malam di Zepp Kuala Lumpur bertukar menjadi pesta penuh warna dan kenangan apabila legenda Eurodance, Dr. Alban, menggegarkan pentas dalam konsert “Rewind & Play Experience” anjuran Mojo Projects dan Tuff & Loud. Lebih 1,000 peminat membanjiri ruang acara bagi menyaksikan sendiri ikon muzik 90-an ini menghidupkan semula era kegemilangan Eurodance yang pernah menguasai carta dunia.

Konsert bermula tepat jam 8 malam dengan persembahan pemanas suasana daripada DJ tempatan yang menyajikan himpunan lagu retro, membawa aura zaman kaset, walkman, dan kelab malam yang sarat dengan irama techno dan rap penuh gaya.

Sorakan gemuruh menyambut kemunculan Dr. Alban di pentas. Dengan gaya santai dan karismanya yang tersendiri, beliau membuka persembahan dengan lagu ikonik “Hello Africa” karya yang pernah membuka jalan kepada kemasyhuran antarabangsa buat doktor gigi kelahiran Nigeria ini. Persembahan diteruskan dengan rentetan lagu-lagu hit seperti “No Coke”, “Look Who’s Talking”,”Mata Oh a Eh”,” Freedom”, “Fire”  dan semestinya dua lagu yang menjadi nadi konsert malam itu: “It’s My Life” dan “Sing Hallelujah!”

Dr. Alban tidak bersendirian. Beliau diiringi vokalis latar Alicia Francke Bocio dan DJ merangkap penyanyi, Dede Lopez dua figura yang turut menyalakan pentas dengan vokal mantap dan tenaga luar biasa. Visual pentas yang meriah, ditambah dengan pancaran cahaya dan laser berwarna-warni, melengkapkan pengalaman audio visual yang mengasyikkan.

Sepanjang lebih satu jam setengah, Zepp KL bertransformasi menjadi sebuah disko besar. Kebanyakan penonton – generasi yang membesar dengan muzik Dr. Alban – tidak segan silu berdansa dan menyanyi sekuat hati. Dari mesej sosial dalam “No Coke” hingga ke semangat perayaan “Sing Hallelujah!”, setiap lagu menghidupkan kembali detik-detik manis yang tersemat dalam ingatan ramai.

Namun, kemuncak sebenar malam itu sudah pasti tiba apabila intro ikonik “It’s My Life” berkumandang. Penonton bersatu menyanyikan bait-bait lagu yang pernah menjadi suara generasi 90-an. Dr. Alban, meskipun kini berusia lebih 60 tahun, tampil penuh bertenaga – bukti nyata bahawa muzik sejati tidak pernah lapuk ditelan zaman.

“Malaysia, you still got it!” katanya sambil tersenyum puas. “This night… this is your night too.”

Apa yang benar-benar menghidupkan malam itu bukan sekadar persembahan vokal dan produksi pentas yang mantap, tetapi semangat luar biasa para penonton. Ada yang hadir berbaju neon, ada juga yang tampil dalam gaya rave klasik – semuanya bersatu dalam satu rentak dan irama, tanpa mengira usia atau latar belakang.

Pihak penganjur, Mojo Projects, yang sebelum ini pernah membawa nama-nama besar ke pentas Malaysia, terus membuktikan kepekaan mereka terhadap selera dan rindu mendalam peminat terhadap muzik yang menyentuh jiwa.

Tatkala lampu pentas mula malap dan lagu terakhir dimainkan, ramai masih enggan berganjak – seolah-olah ingin memeluk lebih lama detik penuh makna itu. Kerana malam itu bukan sekadar hiburan; ia adalah pertemuan semula dengan sebahagian daripada diri mereka yang telah lama tertinggal di masa lalu.

Dan saat Dr. Alban melambai buat kali terakhir sambil melaungkan “Peace, Love and Eurodance forever!”, tiada siapa yang ragu – malam itu telah menjadi sejarah peribadi yang akan dikenang selamanya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page