October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dongeng Moden Jadi Inspirasi Lagu Terbaru Syraf Nasir

Spread the love

Penyanyi rap dan hip hop yang semakin menyerlah di persada muzik tanah air, Syraf Nasir, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “CINDERELLA”, yang bakal menemui peminat di semua platform digital bermula 8 Ogos 2025.

Tidak seperti kisah dongeng asal, “CINDERELLA” versi Syraf tampil sebagai sebuah kisah moden penuh keyakinan — tanpa kasut kaca, sebaliknya meraikan semangat ‘feel-good’ untuk golongan yang sering dipinggirkan atau dianggap ‘underdog’.

CINDERELLA adalah untuk sesiapa yang pernah rasa terpinggir, tetapi tahu dalam hati bahawa mereka punya sesuatu yang istimewa. Lagu ini tentang keyakinan, tentang tiba-tiba semua mata memandang, dan anda menikmatinya sepenuhnya,” kata Syraf.

Menariknya, lagu ini dihasilkan hanya dalam masa dua hari, sebahagian besarnya menggunakan rakaman pertama atau first take, bagi mengekalkan tenaga spontan di studio. Sama seperti karya terdahulunya “VIRUS”, Syraf sekali lagi bekerjasama dengan penerbit dan rakan kolaborasi, SonaOne, yang menurutnya menjadi pasangan kreatif serasi.

Dia tahu bila nak bina ruang dan bila nak naikkan tenaga. Rasanya macam main ping-pong idea — saya lempar, dia balas, dan tiba-tiba lagu ni jadi hidup,” ujarnya.

Antara yang mencuri perhatian dalam lagu ini ialah bunyi eccentric synth piano yang diolah daripada sebuah lagu lama Malaysia, diberi sentuhan moden untuk menambah keunikan. Menurut Syraf, “CINDERELLA” sebenarnya bermula sebagai demo sejak 2020 dan hampir tiada perubahan besar dibuat kerana ‘keajaiban’ lagu itu sudah ada sejak awal.

Kita perbaiki adunan muzik, tapi kekalkan rasa asal. Saya percayakan KidKenobi untuk hasil akhir,” tambahnya.

Syraf mendedahkan bahawa tajuk asal lagu ini ialah “Condifento”, satu gurauan spontan ketika sesi mencipta rentak. Namun, akhirnya ia berkembang menjadi “CINDERELLA” yang menandakan permulaan era baharu dalam karier muziknya.

Anda sedang menyaksikan babak pertama fasa baru saya. Setiap lagu akan ada watak dan personalitinya sendiri, macam karakter dalam filem. Saya mahu pendengar tenggelam dalam fantasi itu,” jelasnya lagi.

Dengan pelancaran “CINDERELLA”, Syraf Nasir bukan sahaja mengetengahkan sisi baharunya, tetapi turut membuktikan bahawa kisah dongeng juga boleh hadir dengan rentak hip hop — penuh gaya, keyakinan dan identiti tersendiri.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page