January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

DOLLA Tunjuk Taring Dengan “Question”

Spread the love

Single Baharu Sarat Emosi, Padu Dengan Mesej Kekuatan Wanita Dan Tarian Berani

Kumpulan gadis sensasi tanah air, DOLLA, kembali menggegarkan industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul “Question”, yang dilancarkan pada 6 November lalu.

Lagu berentak pop moden ini mengetengahkan tema pengkhianatan, kesedihan dan keberanian untuk bangkit semula selepas patah hati  namun disampaikan dengan gaya DOLLA yang penuh yakin dan bergaya.

Menurut Tabby, lagu ini bukan sekadar kisah cinta yang dikhianati, tetapi refleksi emosi sebenar seseorang yang sedang berjuang dengan kekecewaan.

“Lagu ini tentang berdepan dengan pasangan curang, tapi intinya lebih kepada perasaan sendiri — tentang membenarkan diri untuk rasa sedih, terdedah, dan jujur dengan emosi tanpa menyembunyikannya,” jelasnya.

“Question” dihasilkan oleh Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun serta ahli DOLLA sendiri yang dibarisi Tabby, Sabronzo dan Angel. Gabungan mereka menghasilkan karya pop yang padat dengan melodi catchy namun sarat makna.

“Kami menerima demo yang luar biasa daripada Kuizz dan Justin. Kami ubah suai beberapa bahagian instrumental dan lirik supaya emosi lagu ini benar-benar terasa. Ia memang pengalaman yang mengujakan di studio,” tambah Tabby.

Menariknya, lagu ini turut menampilkan koreografi bertenaga hasil sentuhan Akkaraphol Prompen, koreografer berbakat dari Thailand.

“Kami mahu tarian yang memancarkan keyakinan tapi tetap menyeronokkan. Gaya Akkaraphol banyak membantu membentuk rutin yang feminin tapi berani,” ujar Sabronzo.

Muzik video “Question” pula membawa penonton ke suasana diner retro yang dirakam di Fowlboys, The Campus, lengkap dengan visual warna-warni dan elemen sinematik yang menyerlahkan sisi DOLLA yang kuat, lucu dan sedikit ‘nakal’.

“Kami rakam waktu malam sebab kena tunggu restoran tutup. Ceritanya tentang teman lelaki kami yang curang dan kami membalasnya dengan cara yang penuh gaya,” seloroh Angel.

Dengan mesej pemberdayaan diri dan visual yang berani, “Question” mengubah rasa dikhianati menjadi simbol kekuatan dan keyakinan  menegaskan lagi status DOLLA sebagai ikon pop tempatan paling berpengaruh masa kini.

Menjelang tahun baharu, DOLLA menjanjikan lebih banyak kejutan.

“Kami akan lancarkan album penuh DOLLA dan kembangkan kehadiran kami ke seluruh Asia Tenggara pada tahun 2026. Kami tak sabar nak kongsi lebih banyak muzik dengan semua peminat,” ujar Angel.

Sebagai penutup tahun, DOLLA bakal tampil dengan konsert eksklusif “Good Girls Gone Bad” pada 6 Disember 2025, yang pastinya akan membuktikan bahawa mereka bukan sekadar kumpulan pop tetapi fenomena budaya tersendiri.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page