November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dolla Terus Melakar Sejarah Peribadi

Spread the love

Satu demi satu kejayaan dan penghargaan terus diraih oleh Dolla, sejak kemunculan mereka beberapa tahun lalu.

Dolla yang dianggotai empat gadis berbakat iaitu Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya ini kerap mencuri perhatian peminat dunia muzik.  Selepas berjaya tampil di papan iklan digital di New York Amerika Syarikat tahun lalu, mereka mencatat satu lagi kejayaan manis dalam kerjaya seni mereka.

Terkini, empat gadis jelita itu berjaya menarik perhatian saluran YouTube tersohor dunia MsMojo saat saluran tersebut menyenaraikan kumpulan Dolla sebagai salah satu daripada 10 kumpulan nyanyian wanita antarabangsa yang harus ada dalam senarai utama pencinta muzik.

Menerusi video YouTube tersebut, MsMojo menyenaraikan 10 buah kumpulan nyanyian wanita antarabangsa dari pelbagai pelusuk dunia. Ini termasuk Amerika Syarikat, Amerika Latin, United Kingdom, Jepun, Korea dan juga Asia Tenggara seperti Filipina dan juga Malaysia.

Dolla diberi penghormatan menduduki tempat keenam dalam senarai cadangan tersebut,
dan merupakan satu-satunya kumpulan dari Malaysia yang berjaya memasuki carta itu. Antara kumpulan lain yang turut tersenarai adalah kumpulan dari Jepun XG dan juga sensasi K-Pop terkini, New Jeans.

Menurut saluran itu, Dolla bukan sahaja dikenali kerana kelincahan mereka di pentas tapi
juga berkat ketularan mereka di media sosial. Ini termasuklah kejayaan lagu ‘Raya Raya Raya’
yang berjaya mengumpul jutaan peminat seluruh dunia.

Di dunia moden hari ini yang bergerak pantas dalam alam maya, kejayaan ini semestinya
sesuatu yang besar buat Doll. Ini kerana saluran MsMojo di laman YouTube merupakan
sebuah saluran yang sangat popular dan mengiktiraf artis-artis berbakat dari seluruh dunia
serta berimpak besar dalam dunia seni hiburan.

Dengan 5 Juta pelanggan yang mengikuti saluran MsMojo, pasti jumlah pengikut kumpulan
DOLLA juga akan meningkat naik tidak lama lagi. MsMojo juga merupakan salah satu saluran YouTube yang lahir dari saluran induk WatchMojo, sebuah saluran video ulung di YouTube yang berpusat di Kanada.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page