Dolla Mahu ‘Go International’ Melalui Versatiliti Album NEW CLASSIC yang Asyik
Oleh: Zizi Hashim
Naratif kewibawaan wanita merupakan kekuatan yang ditampilkan oleh Dolla melalui perspektif muzikal evergreen mereka yang lebih segar dan bakal menggegar. Definasi ini terluah dari setiap intipati 5 buah lagu baru dan 2 lagu yang telah dilancarkan lebih awal sebelum pelancaran rasmi album sulung NEW CLASSIC pada 21 November baru-baru ini. Kolaborasi karya komposer tempatan dan antarabangsa, variasi genre Dance-Pop dan R&B, versatiliti bakat unik dari setiap line-up, adalah faktor utama album ini terhasil begitu mantap.
Menjadi kebanggaan Universal Music Malaysia, tentunya, 4 gadis cantik bernama Angel, Sabronzo, Syasya dan Tabby mulai dikenali dengan jenama Dolla seawal tahun 2019. Bakat dikesan melalui vokal hebat dan elemen Dance & Rap yang begitu kuat dalam jiwa mereka sehingga munculnya single “Dolla Make You Wanna” pada 20 March 2020 sebaik sahaja kontrak ditandatangani. Sejak itu mereka mempunyai fans-group tersendiri yang diberi gelar iDolla. Meski setiap line-up tidak mengenali sesama sendiri ketika hadir sessi audition, namun keserasian mereka dalam membentuk kejayaan secara berkumpulan sangat mengkagumkan.
Dilancarkan berleluasa di semua platform digital, berbekal cita-cita mahu ‘Go International’ Dolla telah membuktikan populariti mereka setakat ini berikutan kredibiliti meraih pelbagai anugerah sejak penubuhan sehingga sekarang. Antaranya ialah anugerah “Best New Artist” (WOEA), “Top Meletop Group Duo” (AME 2021), “Most Popular Female New Artist” (ABPBH), baru-baru ini tercalon sebagai “Celebrity of The Year” pada TikTok Awards Malaysia 2023 dan banyak lagi. Bukan calang-calang, pencapaian ini adalah berdasarkan kejayaan strategi dari Universal Music sendiri dalam memastikan Dolla terus mekar segar di persada muzik negara sehingga kini. Ini turut diperkukuhkan dengan karakter dinamik dan imej stylo penuh eskpresi dan seksi dari Angel, Sabronzo, Syasya dan Tabby sangat menepati citarasa generasi masakini beserta sifat berani dan cita-cita yang tinggi.
“Album ini bukan saja untuk menghiburkan tapi ianya juga sarat dengan mesej penting.” jelas Tabby membuka bicara. “Kami anggap diri kami sebagai wakil generasi masakini yang bertanggungjawab dan sedaya-upaya menggalas misi bagi hasilkan karya-karya evergreen yang tetap malar segar di masa hadapan. Impian kami agar lagu-lagu kami kekal diminati dan menjadi inspirasi generasi selepas kami.”
Penuh harapan, Tabby dengan bangga bercerita tentang penglibatan secara aktif oleh setiap ahli Dolla ketika proses kreatif rakaman album NEW CLASSIC berlangsung. Mengambil masa lebih kurang setahun, Tabby akui Dolla bersikap berhati-hati dan teliti dalam memilih lagu-lagu yang berkualiti. “Kalau nak tahu, lagu “Drip” adalah lagu pertama yang kami tulis lirik dan gubah melodi. Usahasama kami dengan ramai penulis dan komposer yang punya nama besar dalam industri, kami sangat bersyukur kami diberi kebebasan untuk memberi buah fikiran kami, menokok-tambah, demi menghasilkan ciri-ciri Dolla supaya lebih peribadi.”
Penglibatan seorang produser dan penulis lagu dari Korea Selatan iaitu Hyuk Shin yang sangat tersohor di dunia merupakan salah satu daya tarikan untuk iDolla membeli album ini. Hasil karya beliau dapat didengar melalui lagu “Classic” dan “Boss-Up”. Pengalaman bekerjasama dengan bintang bertaraf superstar seperti Justin Bieber, Anderson Paak, Blackbear, Super Junior, TXT dan banyak lagi telah mengangkat nama Hyuk Shin ke tahap yang lebih tinggi. Pengaruh tersebut yang cuba diadaptasi ke dalam muzik Dolla melalui rentak rancak dan lirik gempak yang pasti menjadi siulan ramai anak muda. Selain dari itu “Damelo” (ada 2 versi Bahasa), “Masa”, “Best Side” dan “Drip” turut dimuatkan dalam album NEW CLASSIC ini. Untuk rekod, ketika ulasan ini ditulis, Muzik video “Classic” di platform digital YouTube yang dirakamkan di Thailand telah mendapat sambutan luarbiasa dengan mendapat lebih 550k views dalam masa 4 hari dilancarkan.
Syasya turut menjelaskan “Apa yang sangat mencabar bagi kami ialah ketika proses rakaman. Ini kerana setiap lagu mempunyai vibe yang berbeza namun kami bersyukur atas bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan dari semua yang terlibat.” Angel pula mengakui lagu “Classic” merupakan lagu favorite kerana secara total ianya menggambarkan halatuju Dolla, “Lagu ini yang pertama memiliki korus ‘anti-drop’ dan bridge yang ceria, dikuatkan lagi dengan storyline pada lirik yang amat dominan dan penuh antusias.”
Lebih menarik, lagu “Damelo” hasil nukilan Hard Lights, dipetik dari bahasa sepanyol yang bermaksud “Berikan kepadaku”, diinspirasikan dari rentak techno-latin yang sangat popular pada masakini. “Ramai betul yang suka muzik latin kan? Lagu ini terus sahaja trending di carta sana-sini, #1 dalam kategori video dan #2 dalam kategori muzik di YouTube. Lagu ini mengangkat nama Dolla di mata dunia antarabangsa kerana kejayaan nya yang tidak di sangka-sangka.” Ujar Sabronzo dengan nada humble, “Sekaligus secara tak langsung menjadikan kami salah satu artis berkumpulan yang membawa impak besar di Malaysia.” Walaupun Dolla masih baru dalam industri, namun mereka telah membuktikan bakat mereka perlu dipandang serius dan etika kerja mereka yang terpuji menjadikan mereka anak emas Universal Music Malaysia. Ini diakui sendiri oleh Kim Lim, pengarah urusan Universal Music Malaysia yang sangat berbangga dengan Dolla, serta mengiktiraf mereka sebagai ikon bagi generasi baru.
Dolla telah menghiburkan lebih kurang 100 fanatika iDolla dengan persembahan mantap mereka yang mengundang jerit pekik pada mini showcase mereka malam itu, serta memperkenalkan pewangi DOLLA X CERM Classic edisi terhad dari Huile de Parfum. Merchandise pertama dari Dolla secara eksklusif ini amat istimewa kerana ianya mentafsirkan ritma dari album Dolla, boleh didapati untuk pembelian di cermskin.com/dolla mulai 30 November nanti.
Versatiliti datangnya bersama kualiti, Tidak akan pernah hilang karisma walau apapun musimnya. Semua dah sedia? Terima lah Dolla dalam pakej album NEW CLASSIC yang extremely asyik!