May 14, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

DOLLA Lancar Single “MWA!”, Disokong OMODA JAECOO

Spread the love

Kumpulan pop sensasi tanah air, DOLLA, mengorak langkah baharu dalam kerjaya muzik mereka menerusi pelancaran single terbaharu berjudul “MWA!”, sebuah karya padat dengan tenaga, identiti visual yang berani dan penglibatan kreatif yang mendalam dari setiap ahli kumpulan. Pelancaran ini turut menampilkan kerjasama strategik bersama jenama automotif OMODA JAECOO sebagai penaja rasmi, menandakan permulaan kepada era baharu buat DOLLA.

Dicipta oleh Chelsea Warner, GASTON, Roland Lim Shi Jie, serta ahli DOLLA sendiri — Tabby, Sabronzo, dan Angel. Lagu ini diterbit dan disusun oleh GASTON dan Roland Lim. Ia mencerminkan pendekatan kreatif yang matang dan kolaboratif, dengan setiap ahli memainkan peranan penting dalam membentuk arah muzik.

“Kami sangat teruja dapat kembali bekerjasama dengan pasukan yang memahami visi kami,” kata Angel. “Sesi rakaman bersama Gaston sangat dinamik dan membolehkan kami bereksperimen dengan pelbagai tekstur bunyi serta struktur lagu. Chelsea Warner juga memberikan sentuhan melodi yang sangat segar.”

Salah satu aspek yang membezakan “MWA!” adalah penglibatan aktif setiap anggota DOLLA dalam proses penulisan dan penghasilan lagu dimana ianya satu langkah penting yang memperkukuh identiti artistik kumpulan ini.

Video muzik “MWA!”, yang diarahkan oleh pengarah prolifik tempatan Jasmine Wong, memaparkan konsep dramatik yang meletakkan setiap ahli sebagai ‘pakar ilusi’ dalam misi penuh aksi dan strategi. Dihiasi gaya fesyen kontemporari serta suntingan sinematik yang dinamik, video ini membuka dimensi baharu dalam naratif visual DOLLA.

“Konsep kali ini lebih liar dan tidak terikat dimana saya memegang watak pejuang, Sabronzo sebagai pemain kad, manakala Tabby sebagai dalang utama,” jelas Angel.

Penggunaan kereta OMODA JAECOO dalam keseluruhan visual turut memperkukuh nilai produksi dan gaya persembahan.

“Kami amat menghargai sokongan OMODA JAECOO yang bukan sahaja menjadi penaja, tetapi juga menyuntik nilai estetika kepada produksi video muzik kami,” ujar Tabby.

Menurut Sabronzo, proses pembikinan “MWA!” bermula dari asas idea ringkas yang berkembang secara berperingkat menjadi produk akhir yang kukuh dan mencerminkan visi kumpulan.

“Ini bukan sekadar lagu, tetapi ia adalah permulaan kepada perjalanan baharu DOLLA,” katanya.

Tambah Tabby, “MWA!” hanya permulaan kepada rangkaian karya baharu yang akan diterbitkan sepanjang tahun ini.

“Kami menamakan 2025 sebagai ‘tahun DOLLA’. Banyak lagi lagu dan persembahan istimewa bakal menyusul. Kami tidak sabar untuk berkongsi semuanya dengan para peminat.”

“MWA!” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital bermula 5 Mei 2025, manakala video muzik rasmi boleh ditonton melalui saluran YouTube DOLLA.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page