December 12, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

DOLLA Hargai Sokongan iDOLLAs Dalam Fan Meet Eksklusif

Spread the love

Dengan penuh rasa syukur dan penghargaan, DOLLA membuka tirai acara DOLLA Exclusive Fan Meet dengan menzahirkan ucapan terima kasih kepada para peminat atas sokongan tidak berbelah bagi yang terus menguatkan perjalanan mereka. Penghargaan tulus itu menjadi inti pati pertemuan eksklusif yang berlangsung pada 6 Disember lalu di LG1 Pyramid Concourse, Sunway Pyramid, di mana ratusan iDOLLAs hadir bagi meraikan hubungan akrab mereka bersama kumpulan wanita terkemuka itu.

Acara yang bermula pada jam 3 petang itu dipenuhi suasana mesra dan penuh warna apabila para peminat diberi ruang berinteraksi secara dekat dengan anggota DOLLA. Sesi perkongsian cerita, pertemuan peribadi serta aktiviti “DOLL-ify” — di mana peminat membawa aksesori mini untuk menghias ahli kumpulan — menjadikan petang tersebut lebih meriah dan unik.

Turut menyerikan acara ialah jualan barangan eksklusif seperti Baby Tee, Crew Tee, Photocard Holder, Trading Card Pack, dan kemunculan rasmi Light Stick V2 yang menjadi tarikan utama para pengunjung yang hadir.

Tabby, dalam kenyataannya sebelum ini, menyatakan rasa terharu atas sokongan yang tidak pernah surut. “Tiada siapa yang sentiasa bersama kami seperti iDOLLAs. Semakin sukar masa yang kami lalui, semakin kuat sokongan mereka. Inilah masa terbaik untuk kami menebus masa-masa sukar dan memaklumkan perancangan kami untuk 2026. DOLLA tidak akan berhenti menghasilkan muzik dan kandungan yang boleh mereka nantikan,” katanya.

Selepas acara berakhir, beliau sekali lagi meluahkan keterujaan. “Kami rindu nak tengok wajah peminat. Berjumpa, berinteraksi dan membuat sedikit persembahan untuk mereka adalah perasaan paling best. Melihat peminat sanggup terbang dari merata tempat untuk hadir pun dah cukup mengagumkan.”

Beliau turut berkongsi bahawa tahun 2026 bakal padat dengan festival antarabangsa, persiapan album baharu dan sebuah showcase yang dinantikan. “Kami sangat teruja dan berharap dapat mengetuai sebuah kempen besar bersama kerajaan untuk membawa lebih banyak kesedaran kepada masyarakat.”

Angel, yang turut berkongsi rasa gembira, berkata, “Ia pengalaman yang sangat bermakna. Bertemu peminat dalam suasana intim memberi kami semangat baharu sebagai kumpulan untuk terus melangkah jauh.”

Sementara itu, Sabronzo menegaskan bahawa peminat adalah nadi kekuatan DOLLA. “Motivasi terbesar kami adalah iDOLLAs. Sokongan mereka yang tak pernah goyah benar-benar membuktikan kasih sayang mereka terhadap kami. Bahagian paling best semasa meet & greet ialah bila dengar cerita bagaimana mereka menjadi iDOLLA, selain gelak tawa spontan bersama.”

DOLLA Exclusive Fan Meet berakhir dengan penuh kenangan indah, mengukuhkan lagi ikatan antara kumpulan dan komuniti peminat mereka. Ketika DOLLA bersedia melangkah memasuki bab baharu menjelang 2026, acara ini menjadi detik penting untuk memperkukuh hubungan, mengenang perjalanan, dan mencipta memori baharu bersama iDOLLAs yang setia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page