Dolla Akhirnya Bersuara — Konsert Batal Kerana Dokumen Tak Lulus
Enggan terus membiarkan peminat berteka-teki, kumpulan Dolla tampil mendedahkan punca sebenar pembatalan konsert Good Girls Gone Bad ia berpunca daripada kegagalan penganjur menyiapkan permit serta kelulusan wajib sebelum tarikh persembahan.
Dalam kenyataan di Instagram, trio Sabronzo, Tabby dan Angel mengakui keputusan itu amat berat memandangkan seluruh pasukan sudah bertungkus-lumus berbulan-bulan.
“Kami mohon maaf setulus hati kepada semua iDollas. Ramai menanti konsert ini, kami pun sama.
Kami tak sanggup berdepan keadaan di mana konsert dibatal dua atau tiga hari sebelum berlangsung. Itu lebih memalukan. Jadi keputusan ini walaupun pahit, terpaksa kami terima,” kata mereka.
Tambah mereka, hampir semua persiapan konsert telah pun siap daripada visual, koreografi, susunan muzik hinggalah latihan intensif yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.
Namun bagi menghargai sokongan peminat, Dolla mengumumkan sesi pertemuan khas pada 6 Disember ini selain menjanjikan sebuah konsert penuh yang lebih besar pada tahun depan.
“Kami sudah curahkan tenaga dan jiwa untuk pastikan pentas itu jadi yang terbaik. Tapi keadaan tak mengizinkan. Kami rindu nak jumpa peminat. Tahun depan, kami akan kembali dengan persembahan besar yang berbaloi ditunggu. Jangan risau, penganjur akan pulangkan semua bayaran secepat mungkin. Kami pastikan prosesnya lancar,” jelas mereka.
Terdahulu, nama Dolla kembali menjadi tumpuan selepas pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menegur penampilan seksi anggota kumpulan itu menerusi video muzik terbaharu Question.
Teguran itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang kini menilai keperluan tindakan syariah terhadap selebriti Islam berpakaian tidak sopan.
Beliau juga mengarahkan semakan semula garis panduan pemakaian selebriti Islam dalam industri hiburan.
Universal Music Malaysia selaku label sebelum ini menjelaskan bahawa mereka memahami sensitiviti masyarakat dan sentiasa mempertimbangkannya dalam setiap perancangan.
