May 5, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dogz of Oz Tour: Toto Bawa Magis Rock ke Arena of Stars

Spread the love

Oleh: Esme Johari Wahab

[email protected]

Kredit Foto: UnUsUaL Entertainment

KUMPULAN Toto jelas membuat peminat mereka tersenyum puas sampai ke telinga selepas menyaksikan konsert live mereka di Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highlands, Pahang, 1 Mei lalu.

Konsert Toto Tour 2025 Dogz of Oz di pusat peranginan bersuhu dingin negara itu adalah hentian terbaru mereka selepas menjayakan beberapa konsert Dogz of Oz di New Zealand dan Singapura pada penghujung April lalu. 

Menampilkan persembahan tanpa henti selama sejam setengah bermula jam 6 petang, kumpulan berasal dari Los Angeles, Amerika Syarikat itu menyajikan 19 lagu hit termasuk lagu ajaib mereka, Africa yang mencatat jualan puluhan juta unit melonjak nama Toto di persada muzik antarabangsa.

Toto membuka persembahan dengan petikan Child’s Anthem dan Carmen oleh pemain gitar utama, Steve Lukather yang bertindak salah seorang vokalis kumpulan tujuh anggota itu.

Enam anggota lain bersamanya dalam Toto Tour 2025 adalah Joseph Williams (vokal), Greg Phillinganes (keyboard/vokal), Shannon Forrest (dram), John Pierce (pemain gitar bass), Warren Ham (saksofon/percussion/ vokal). 

Bersama mereka kali ini adalah anggota termuda berusia 27 tahun menyertai Toto tahun lalu, Dennis Atlas sebagai keyboard kedua dan vokal.

Persembahan di bawah sinaran lampu limpah serta lampu sorot pentas utama turut diserikan dengan kehadiran dua skrin layar besar di kiri kanan pentas membolehkan penonton melihat aksi mereka  lebih dekat.

Meskipun rata rata anggota berusia melebihi 60 tahun, namun aksi masing masing tetap jitu dan menepati status pemuzik profesional.

Lebih menarik, penampilan lincah Atlas dengan imej rambut panjang menambah aura Toto. Dia turut mempamer kemahiran keyboard solo dengan meleretkan jari jemari bermain intro muzik Paganini.

Ditanya generasi otai membesar bersama lagu lagu Toto, mengatakan Toto masih relevan.  Seorang peminat dikenali Jeff berkata : “Lukather terkenal kerana Toto dan Toto terkenal kerana dia. Dia mungkin sudah berumur tetapi petikan gitarnya tak dimamah usia.”

“Dia menjadi pemain gitar artis lain seperti Lionel Richie dan Michael Jackson pada zaman kemuncaknya”.

Banyak lagu lagu mereka meletup atau menjadi hit menduduki carta teratas lagu di negara negara Eropah dan benua Amerika Utara.

Ada penonton ke hadapan pentas untuk merakam detik aksi kumpulan bersama instrumen memainkan lagu kesukaan mereka.  Malah, Philiganes, 68 tidak ketinggalan menunjukkan skil bermain keyboard solo fusion diadun irama percussion dan lenggok bongo Ham.

“Thank you very much Malaysia’ kata Lukather selepas berakhirnya lagu Rosanna.

Williams pula berkata: “You can sing with us. It’s been a privilege to be with you all. Thank you Malaysia”.

Repertoire lagu dibawa Toto termasuklah Pamela, I Won’t Hold You Back, White Sister, I’ll Supply The Love serta beberapa sesi beliau goreng gitar solo selaku duta gitar Music Man.

Lukather menyanyikan Georgy Porgy bersama Williams dan penonton bersorak mereka berganding menyampaikan lagu keramat rentak perlahan, I’ll Be Over You. Gitar solo Lukather benar benar menjadi signature sound kumpulan ini  dengan memberi tona identiti muzik Toto.

Selain itu, mereka juga turut bermain rock n roll bertajuk Angel Don’t Cry dengan solo keyboard serta nyanyian  Atlas.

Meraikan erti persahabatan, mereka mempersembahkan lagu ditulis bekas anggota, David Paich dan Lukather bertajuk Stop Loving You serta Don’t Chain My Heart yang menyelitkan sentuhan melodi blues.

Lukather memberitahu : “ Kami bermain muzik sejak remaja, kenal satu sama lain, membentuk kumpulan dan berada dalam studio Hollywood dengan pelbagai artis seperti Michael Jackson, Earth, Wind & Fire dan banyak lagi.”

Toto, membawakan genre pop rock soul funk  ditubuhkan pada 1977, menutup persembahan dengan hit bertajuk Africa sambil mengajak penonton menyanyi bersama.

Toto, pemenang enam Anugerah Grammy pada 1983 menerusi lagu Rosanna, akan meneruskan konsert  seterusnya di Manila, Filipina pada 4 Mei. Konsert Toto dibawakan kepada peminat oleh promoter, UnUsUaL Entertainment


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page