Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play!

Magis Disney Hidup di Arena of Stars, Membawa Keriangan Buat Seluruh Keluarga
Tidak ada yang lebih berharga daripada melihat mata anak-anak bercahaya penuh keterujaan, sambil ibu bapa tersenyum menikmati detik kebersamaan. Itulah yang terjadi apabila Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! membuka pentasnya di Arena of Stars, Resorts World Genting pada malam pertama persembahan (29 Ogos lalu)
Sejak langkah pertama masuk ke dewan, suasana sudah terasa berbeza, kanak-kanak berpakaian kostum watak kegemaran mereka, belon berwarna-warni melayang di tangan, dan wajah penuh harapan menunggu saat tirai dibuka. Ketika DJ Disney Junior memulakan irama, sorakan kecil bergema, tanda bermulanya sebuah malam yang bakal dikenang.

Dan saat Mickey Mouse melangkah masuk, seluruh ruang seakan bergetar dengan sorakan. Watak ikonik itu bukan sekadar membuka persembahan, tetapi seolah menjadi kunci yang membawa penonton menyelami dunia imaginasi Disney. Dunia yang penuh nyanyian, permainan, gelak tawa, dan persahabatan.
Setiap segmen diatur bak sebuah “playdate checklist” yang menghiburkan: Goofy muncul dengan aksi lucu, Ariel si Little Mermaid mempesona dengan sentuhan klasik, manakala SuperKitties mencuit hati dengan kecomelan mereka. Namun, sorakan paling kuat jelas milik Minnie Mouse, yang mencuri perhatian dengan segmen belon penuh warna-warni. Saat itu, anak-anak melompat kegirangan sementara ibu bapa sibuk merakam momen indah di telefon mereka.


Selepas rehat singkat, pentas kembali digegarkan dengan kemunculan yang paling dinanti-nantikan. Dengan penuh gaya, Spider-Man meluncur masuk dari sisi pentas. Aksi yang cukup memukau hingga membuat penonton terpaku seketika sebelum bergema dengan jeritan kagum. Bagi anak-anak yang menjadikan adiwira itu idola, ia jelas satu pengalaman yang tidak ternilai.
Sepanjang dua jam persembahan, setiap lagu, tarian, dan kesan khas membuatkan penonton tidak berkelip. Kanak-kanak berdiri, menari, dan menyanyi bersama, manakala ibu bapa pula larut dalam nostalgia – mengingatkan mereka kepada zaman kecil mereka sendiri bersama dunia Disney. Itulah kekuatan sebenar Disney Jr. Live On Tour – bukan sekadar hiburan, tetapi jambatan antara generasi.



“Melihat keluarga di Malaysia merasai keajaiban Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! adalah pengalaman yang luar biasa. Arena of Stars dipenuhi keterujaan yang sukar digambarkan, dan kami bangga mencipta detik yang akan dikenang oleh anak-anak untuk tahun-tahun mendatang,” kata Jonathan Shank, penerbit dari Terrapin Station Entertainment.
Dianjurkan oleh Unusual Entertainment dan Lo-Fi Entertainment, produksi ini bukan sekadar konsert atau teater, tetapi sebuah perayaan imaginasi dan penceritaan yang menjadi nadi Disney selama puluhan tahun.
Bagi yang belum berkesempatan, persembahan ini masih berlangsung sehingga 1 September, dengan tiga pertunjukan setiap hari sepanjang hujung minggu, sebelum tirai terakhir ditutup pada Isnin. Jika ada satu acara keluarga yang wajib disaksikan tahun ini, inilah dia malam penuh magis yang sukar dilupakan.