Disangka Band Luar Negara, Cradle Kekal Dengan Rock Versi Sendiri
Gabungan Generasi Dan Pengaruh Muzik Luar Bentuk Identiti Unik Band Tempatan
Foto Kredit: Maestro Ridhwan
Dalam era muzik tempatan yang semakin dipenuhi bunyi selamat dan formula yang mudah dijual, kemunculan Cradle terasa seperti satu anomali. Mereka tidak hadir dengan slogan besar, tidak juga cuba memenangi algoritma, namun muzik mereka tetap mengundang perhatian malah mencetuskan kekeliruan.
Ada yang teruja, ada yang terpinga-pinga, dan tidak kurang juga yang menyangka Cradle ialah band dari luar negara. Persepsi itu bukan muncul tanpa sebab. Bunyi muzik Cradle kedengaran asing, tidak terlalu tunduk pada konvensi rock tempatan, namun pada masa sama masih berakar kuat pada roh genre tersebut.

Bagi Addy Rasidi, gitaris utama Cradle, reaksi sebegitu menjadi sesuatu yang semakin biasa sejak kebelakangan ini.
“Banyak yang DM dan PM. Ramai tertarik dengan persona dan bunyi Cradle. Ada yang kata sound kami macam band luar negara. Bila kami beritahu ini band lokal, mungkin sebab kami memang banyak dengar muzik luar. Pengaruh itu masuk dalam diri dan akhirnya membentuk bunyi Cradle yang orang rasa ‘lain’,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, 6 Januari lalu.
Cradle diterajui oleh empat individu dengan latar berbeza iaitu Addy Rasidi (gitar), Eiz Mohd (vokal), Zul Wahab (bass) dan Adha Lizam (dram). Keunikan band ini bukan sekadar terletak pada bunyi, tetapi pada pertembungan generasi yang membentuk identiti kolektif mereka.

“Saya datang daripada era 90-an, umur pun dah 50an. Drummer pula dibesarkan dengan muzik tahun 2000-an. Ahli lain pun ada rujukan muzik masing-masing. Gen X, milenial bila semua ini digabungkan, itulah Cradle,” jelas Addy.
Pertembungan era ini bukan sekadar perbezaan umur, tetapi pertembungan cara berfikir, cara mendengar muzik dan cara menilai kejujuran sesebuah karya. Ia mencipta satu dinamika yang menjadikan Cradle sukar dikurung dalam satu definisi genre.
Namun, walau sejauh mana mereka bereksperimen, akar muzik Cradle tetap berpaksikan rock.
“Nak cakap satu gaya spesifik memang susah. Tapi bau rock itu memang ada. Bunyi gitar dan drum masih rock. Cuma kami tak mahu kedengaran seperti sesiapa,” katanya.
Bagi Cradle, rock bukan sekadar distorsi berat atau tempo agresif semata-mata. Ia adalah tentang karakter bunyi dan kejujuran ekspresi.
“Rock itu lebih kepada gitar, drum dan tenaga. Kalau gitar terlalu clean, kadang-kadang bunyi jadi kosong. Jadi bagi kami, rock tetap rock cuma versi kami sendiri,” ujar Eiz, yang menjadi suara utama band ini.
Pendekatan ini menjadikan karya Cradle hari ini kedengaran lebih matang dan berlapis. Mereka tidak lagi terikat dengan keperluan untuk ‘kedengaran keras’, sebaliknya lebih fokus kepada kepadatan bunyi dan susunan yang berfungsi.

“Sound sekarang lebih compact berbanding yang lama. Jauh bezanya,” kata Eiz ringkas, namun cukup menggambarkan evolusi band ini.
Sejak album pertama, Cradle sering dikaitkan dengan label alternative rock. Namun hakikatnya, persepsi itu tidak pernah benar-benar selari dengan niat sebenar mereka.
“Album pertama dulu orang anggap heavy alternative rock. Tapi kalau dengar betul-betul, ia tak fokus ke situ sepenuhnya. Masa itu memang ramai band ke arah sound yang sama, tapi kami tetap keluarkan lagu seperti Sanubari,” jelas Addy.
Situasi itu meletakkan Cradle di persimpangan yang janggal dilihat sebagai band alternatif, tetapi menghasilkan lagu yang tidak sepenuhnya menepati jangkaan genre tersebut.
“Kami sendiri pun masa itu agak keliru. Lagu-lagu itu memang lagu kami, tapi orang cuba letakkan kami dalam satu kotak,” katanya.
Hari ini, kekeliruan itu digantikan dengan keyakinan. Cradle kini lebih jelas tentang siapa mereka dan apa yang mahu disampaikan. Pemilihan single terbaharu, Ayuh, bukan sekadar keputusan pemasaran, sebaliknya satu pernyataan identiti.
“Kami tentukan sendiri apa yang kami rasa betul. Kenapa kami push Ayuh sebagai lagu pertama sebab kami tak mahu orang kenal Cradle sebagai band ballad,” jelas Addy.
Walaupun Cradle tidak menolak elemen balada, mereka enggan terperangkap dalam persepsi tersebut.
“Kami ada lagu ballad, ya. Tapi kami band rock. Rock yang berbeza,” tambah Eiz.
Dalam industri muzik yang sering menuntut keseragaman demi kelangsungan pasaran, pendirian Cradle untuk kekal jujur mungkin bukan laluan paling mudah. Namun bagi mereka, itulah satu-satunya cara untuk bertahan dengan bermaruah.
“Kami tak nak sound macam sesiapa. Kami nak orang dengar dan terus cakap, ‘Oh, ini Cradle.’ Alhamdulillah, itu yang kami cari selama ini,” kata Addy.

Kekuatan identiti itu turut tercermin melalui sambutan terhadap album Hela Nafasku. Dicetak terhad kepada 300 keping dan dijual secara dalam talian, bersua muka dan di letakkan di beberapa kedai muzik ternyata album tersebut kini hampir habis di pasaran, menjadi rebutan peminat dan pengumpul muzik.
“Alhamdulillah, album ini mendapat perhatian dan permintaan di luar jangka. Insya-Allah kami akan mengulang cetak album ini memandangkan siri jelajah Cradle yang dirancang sebelum ini masih belum bermula,” ujar Juria Banding, Pengurus Projek Rasa Music.
Mungkin di situlah kekuatan sebenar Cradle sebuah band rock tempatan yang tidak cuba meniru, tidak mengejar label, dan tidak tunduk pada kehendak seragam industri. Sebaliknya, mereka memilih untuk membina identiti sendiri melalui gabungan pengalaman, generasi dan keberanian untuk berbeza.
Dan dalam dunia muzik yang semakin bising dengan bunyi yang hampir sama, keberanian untuk menjadi ‘lain’ itulah yang membuatkan Cradle akhirnya didengari.
