Dinda Dania Tampil Berani Dengan Single Terbaharu “Katana”

Penyanyi muda berbakat besar dan juara Ceria Popstar Xtra 2022, Dinda Dania, kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Katana”, sebuah lagu berentak rancak yang meraikan kekuatan, keberanian dan keteguhan jiwa wanita masa kini.
Diterbitkan di bawah label Rocketfuel Entertainment, lagu ini mendapat inspirasi daripada keanggunan dan ketajaman pedang legenda Jepun – Katana, yang menjadi simbol kekuatan dalaman serta semangat tidak gentar yang dimiliki oleh setiap wanita.
“Katana bukan sekadar lagu – ia adalah satu kenyataan. Ia tentang mencari suara sendiri, memiliki kekuatan dalaman dan tidak takut untuk bangkit,” ujar Dinda. “Saya harap lagu ini mampu memberi inspirasi kepada gadis-gadis dan wanita di luar sana untuk percaya pada diri sendiri, walau apa pun cabaran yang datang.”

Secara naratif, “Katana” mengisahkan tentang seorang wanita yang menyedari kecurangan pasangannya dan memilih untuk bangkit dengan penuh martabat, sekali gus menggambarkan kelembutan wanita yang tidak bermakna mereka mudah dipergunakan.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman, dan digarap dengan susunan muzik moden yang sarat dengan elemen sinematik, seiring dengan kekuatan vokal Dinda yang mantap dan penuh ekspresi.
“Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan mereka bertiga, jadi proses rakaman berjalan sangat lancar. Mereka sangat profesional, terbuka menerima pendapat, dan banyak membantu saya di studio,” kata Dinda mengenai kolaborasinya.

Rakaman lagu “Katana” hanya mengambil masa sekitar dua jam setengah, walaupun Dinda mengakui berdepan sedikit cabaran ketika itu akibat kurang sihat. “Saya bersyukur kerana semuanya tetap berjalan lancar. Harapan saya, semoga lagu ini mendapat tempat di hati para pendengar,” tambahnya.
Walaupun masih baru dalam industri hiburan tanah air, Dinda Dania terus membuktikan kematangan muziknya dan keberanian untuk bereksperimen dengan konsep yang lebih berani dan bermakna.
Single “Katana” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music, manakala lirik video rasmi bakal dilancarkan tidak lama lagi.