DIGNIFIED: The Faisal Cup Story, Harapan Kecil di Pentas Gergasi Bukit Jalil
DIGNIFIED: The Faisal Cup Story muncul sebagai sebuah dokumentari yang mengangkat keberanian anak-anak pelarian yang menyimpan impian luar biasa untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, pentas megah yang sebelum ini mustahil untuk mereka dekati. Namun filem ini bukan sekadar kisah kejar-mengejar bola di padang; ia adalah cerita tentang identiti, maruah dan impian untuk diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat.
Dirakam sepanjang tempoh setahun, dokumentari ini mengikuti perjalanan tiga watak utama: jurulatih Malaysia, Jeremy Chin, Kurban Ali dari komuniti Rohingya, serta Ezra Van Lian Ceu dari komuniti Chin Myanmar. Di sebalik keringat latihan dan disiplin ketat yang ditunjukkan, perjuangan mereka tertumpu kepada sesuatu yang lebih besar, peluang yang adil untuk membina masa depan dan membuktikan bahawa nasib bukan penentu nilai seseorang.

Mengemudi arah dokumentari ini ialah Hazel Desmond, penyampai berita berpengalaman lebih 15 tahun. Sentuhan kewartawanan yang dibawanya menghadirkan visual dan naratif yang raw, jujur serta sarat emosi. Kepakaran ini kemudian diperkukuh oleh Steve Chao, calon Emmy sebanyak dua kali yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif bagi menghasilkan sebuah dokumentari yang matang, sensitif dan penuh nilai kemanusiaan.

Turut bersama mengangkat kisah ini ialah aktivis kemanusiaan Deborah Henry, serta Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, yang memberikan sokongan terhadap pendedahan kisah komuniti rentan melalui platform filem.
Malaysia hari ini menempatkan lebih 211,000 pelarian dan pencari suaka, termasuk hampir 65,000 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun. DIGNIFIED menjadi peringatan lembut namun tegas bahawa di sebalik angka-angka besar itu, wujud wajah-wajah kecil yang menyimpan mimpi dan mereka ingin didengari.

Signal Flare Productions, diterajui Steve Chao, meneruskan komitmen penceritaan berimpak sosial melalui dokumentari ini. Dengan pengalaman luas bersama Netflix, HBO, Amazon dan Warner Bros, mereka sekali lagi memanusiakan naratif dan mengangkat suara komuniti yang jarang diberi perhatian.


DIGNIFIED: The Faisal Cup Story bukan sahaja sebuah dokumentari sukan ia adalah kisah tentang keberanian, peluang, dan kemanusiaan. Sebuah filem yang membuka dialog tentang empati, dasar dan peranan masyarakat dalam melihat komuniti pelarian dengan mata hati, bukan sekadar statistik.
