Didie Shazry Mengolah Luka Menjadi Melodi, Muzik Sebagai Terapi Kesihatan Mental
Bagi penyanyi dan komposer muda Didie Shazry, muzik bukan sekadar medium hiburan, tetapi sebuah ruang empati, mendengar dan menyembuhkan. Itulah jiwa yang dibawanya dalam projek istimewa Demi Sebuah Rindu, sebuah naskhah berteraskan kesihatan mental yang lahir daripada kisah benar dan luka kehidupan.
Juara program realiti Raise The Star musim pertama ini tampil sebagai suara dan komposer utama yang menterjemahkan pengalaman peribadi penulis lirik dan produser, Julie Ezwin, ke dalam bahasa melodi yang jujur dan penuh perasaan. Projek ini dilancarkan dalam sebuah majlis penuh emosi di St. Regis Kuala Lumpur, sekali gus menandakan fasa baharu perjalanan seni Didie agar lebih matang, lebih berani dan lebih manusiawi.
Dibiayai oleh MyCreative Ventures, projek Demi Sebuah Rindu: Music & Mental Health menampilkan lima lagu iaitu Pendam, Dakapan Ilahi, Cocoon, Yakini Janji dan Open Up. Daripada lebih 20 naskhah lirik yang ditulis Julie berdasarkan pengalamannya sebagai pejuang Bipolar Disorder, Didie memilih sembilan lirik untuk dikomposisikan satu tanggungjawab besar bagi seorang anak muda.

“Lirik-lirik ini mengajak saya untuk mendengar, bukan sekadar menyanyi. Ia menuntut penghayatan emosi yang sangat mendalam,” ujar Didie ketika ditemui di majlis pelancaran Demi Sebuah Rindu di St Regis Kuala Lumpur pada 29 Disember lalu.
Menurutnya, setiap lagu bukan dibina untuk mengejar populariti, tetapi untuk memberi ruang kepada pendengar memahami emosi sendiri satu elemen penting dalam kesedaran kesihatan mental.
Lagu Pendam menjadi titik mula perjalanan ini. Didie mendedahkan bagaimana proses kreatifnya berlaku secara spontan apabila Julie menghubunginya menerusi Instagram dan berkongsi kisah hidup yang penuh emosi.
“Saya terus terbang ke Sabah keesokan hari. Lagu Pendam siap dalam hampir 20 jam. Ia sangat jujur, sangat berat, dan datang terus dari rasa,” katanya.
Keikhlasan itu menjadi asas kepada keseluruhan album, yang akhirnya berkembang daripada satu lagu kepada sembilan karya sesuatu yang pertama kali dialami Didie sebagai komposer.
“Muzik yang ikhlas akan bertahan lama. Melodi yang saya hasilkan sebenarnya lahir sejak zaman sekolah menengah, cuma kini saya gabungkan dan beri makna baharu,” jelasnya.
Sebagai pelajar Fakulti Muzik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Didie melihat muzik bukan hanya dari sudut teknikal, tetapi sebagai medium komunikasi emosi. Baginya, Demi Sebuah Rindu membawa mesej penting kepada generasi muda bahawa perasaan sedih, hilang dan rapuh bukan kelemahan.
“Karya ini bukan sekadar untuk kita dengar, tetapi untuk kita rasa. Ia membuka ruang untuk kita bercakap tentang apa yang selama ini kita pendam,” katanya.

Mesej ini selari dengan visi projek yang menjadikan seni sebagai alat pendidikan dan sokongan emosi, khususnya dalam isu kesihatan mental yang sering diselubungi stigma.
Momentum Demi Sebuah Rindu akan diteruskan ke tahun 2026 dengan empat lagu baharu yang telah siap dirakam, selain perancangan University Tour: Music & Mental Health ke seluruh negara. Inisiatif ini bakal menyaksikan Didie turun bertemu pelajar dan belia, berkongsi pengalaman serta menggunakan muzik sebagai jambatan dialog terbuka mengenai kesihatan mental.
Kelima-lima lagu dalam album Demi Sebuah Rindu kini boleh distrim di semua platform digital, manakala video muzik Pendam dan Open Up akan dilancarkan pada 1 Januari 2026.
Bagi Didie Shazry, perjalanan ini bukan soal pencapaian peribadi semata-mata. Ia adalah usaha kecil untuk menyampaikan satu mesej besar dimana kita boleh sembuh, sedikit demi sedikit, dan muzik boleh menjadi teman dalam proses itu.
