Dibuai Retrospektif Nostalgia UK’SLAM
Oleh: Zizi Hashim
Hakikatnya kini kita berada di tahun 2024, namun pada malam 3 Februari yang lalu telah menyaksikan bagaimana 2 band tersohor di Malaysia iaitu UK’s dan Slam membawa para peminat setia mereka sama-sama ‘flashback’ ke era 90an. Zaman kegemilangan mereka yang sememangnya kita ketahui adalah pada 30 tahun yang lampau – masih relevan dan masih laku show sana sini sehingga ke hari ini. Ini dibuktikan dengan kehadiran hampir 5,000 peminat setia yang datang, termasuklah fanbase mereka yang baru.
Sarat dengan susunan konten muzikal, emosional dan intelektual, segmen group solo UK’s bermula tepat jam 8:45 malam bagai yang direncanakan. Malam yang dingin dipanaskan dengan intro rancak “Rhythm Si Jantung Hati” disahut sorakan gemuruh audiens – satu pilihan bijak. Amir tampil segak berbusana jaket kontemporari, berkaca mata hitam dan bertopi ‘beret’ kegemarannya. Seperti kebiasaannya, Amir bijak berinteraksi dan melantuni lagu demi lagu penuh bertenaga. Vokal lunak dan lantang beliau begitu bersemangat mendendangkan “Untuk Apa”, “Cintaku”, “Kekasihku Di Menara” dan “Rondo Cinta Buta” begitu menggamit memori.
Alunan riff gitar lembut petikan jari Mus Satira bergandingan dengan Daniel, rasanya begitu lama tak didengar, dilengkapi bunyi merdu seruling, berkumandanglah “Kau Satu-Satunya”. Bergema seluruh Stadium Malawati apabila audiens turut sing-along hampir kesemua lagu sejak dari awal konsert sambil menghayunkan tangan-tangan ke udara. Mood sedih menyelubungi apabila lagu “Pahit Akan Manis Akhirnya” didendangkan. Kebanyakan lagu-lagu ciptaan Saari Amri, jika sungguh-sungguh dihayati melodi dan senikata, mampu membuat jiwa hiba dan mata berkaca. “Diluar Kemampuanku” menambah lagi sendu sebelum nuansa malam diceriakan kembali dengan hits yang dinanti-nanti menerusi “Kembali Mencari”.
Ramai yang tidak sabar menanti segmen group solo seterusnya. Peminat setia Slam bagaikan kerasukan sebaik sahaja Zamani melangkah masuk ke pentas utama. Jerit pekik yang lebih kuat dari tadi menggegar stadium. Itulah penangan Slam. Intro “Kembali Merindu” benar-benar mengubat kerinduan semua. Mainan emosi silih berganti dengan seleksi lagu, mencipta sayu apabila suara lemak merdu Zamani mengalunkan “Kita Terpaksa Bermusuhan”. Terdengar bisik-bisik di antara audiens yang hadir melahirkan rasa syukur melihat kesihatan Zamani yang baik, gembira melihat sosok itu tersenyum memberi salam terharu dengan sambutan peminat yang tak terduga.
Aura karisma seorang Shah Slam tiada siapa dapat menyangkal. Bagaikan bercinta dengan gitarnya, riff memukau lagu “Mentari Muncul Lagi” menggigit jiwa. Persembahan karya penuh emosi, syahdu dan sentimental dari Slam diteruskan dengan lagu demi lagu. Antara lain yang turut sama disajikan ialah “Tak Mungkin Berpaling”, “Kurnia”, “Tiada Aku Jemu” dan sebuah lagu cover dari Alleycats berjudul “Rayuan di Puncak Genting”. Tatacahaya yang gemilang, disulami persembahan visual di skrin layar lebar memberi warna kepada jeyarawa kedua-dua band. “Maria Mariana” mengakhiri segmen group solo, dengan Zamani santai menjemput 2 tetamu dari khalayak untuk bernyanyi bersamanya di atas pentas.
Ribuan peminat kian teruja melihat kemistri yang terwujud di antara UK’s dan Slam, mencipta momentum retrospektif pada Segmen Akustik dan juga Elektrik yang telah disusun. Terpukau ketika nada “Kekasihku” dan “Jika Kau Rasa Getarnya” memecah malam. Tidak sia-sia meredah kesesakan lalu lintas untuk tiba ke Stadium Malawati, vokal Amir dan Zamani berselang-seli terdengar cemerlang seolah-olah ‘tertelan kaset’. Hadirin terbawa-bawa suasana balada jiwang, mellow, tenang dan nyanyi bersama. Majoriti yang hadir sudah hafal benar dengan lagu-lagu mereka, gembira ber’karaoke’ penuh ceria.
Kombinasi musisi handalan dari kedua-dua band memperlihatkan kontribusi virtuoso dari Olley (bass), Amirul (dram), Eddie (kibod), Lili (bass) dan Othman (dram). Pengalaman berpuluh tahun bergelumang dalam industri seni dicurahkan sepenuhnya demi memberikan yang terbaik.
“Seksanya nak nyanyi lagu seterusnya ni.” seloroh Zamani sambil gelak-gelak kecil. “Hanya Amir je yang boleh nyanyi lagu ni dengan baik.” sambungnya lagi. Amir tersengih dan lagu “Seksa” pun dilantunkan diikuti dengan lagu “Nur Kasih” yang disifatkan Amir sebagai struggle untuk menyanyikan nada itu. Masing-masing merendah diri dan memuji antara satu sama lain. Bergabung buat pertama kali, kedua-dua band tampak serasi bekerjasama secara professional. Amir beberapakali memanggil Zamani dengan gelaran “Adik” memberi feel kekeluargaan harmoni antara UK’s dan Slam. Medley “Sebak” dan “Manisnya Rindu” mengisi slot sebelum beralih ke segmen Elektrik.
Ketika “Siapa Yang Rampas Cintamu” bergema, Amir dilihat terharu dengan interaksi dan reaksi peminat yang sememangnya menunggu lagu popular itu. Mereka sing-along dan sporting menyalakan flashlight untuk menciptakan suasana malam yang syahdu. Melodi dan lirik lagu “Kembali Terjalin” sudah tentunya menyentuh emosi yang membuai rasa setiap jiwa yang hadir. Tak hanya bernyanyi, Amir dan Zamani telah menjemput satu nama besar yang telah menyumbang kejayaan demi kejayaan buat UK’s dan Slam naik ke pentas. Komposer Saari Amri muncul begitu bersahaja, mengekspresikan rasa terima kasih atas penghargaan yang diberikan ke atas karya seninya yang masih diminati sehingga kini meski telah menjangkau berpuluh tahun tetap malar segar.
Mengakhiri tirai konsert malam 3 Februari dengan sangat meriah menerusi medley lagu paling popular UK’s dan Slam iaitu “Gerimis Mengundang” dan “Disana Menanti Disini Menunggu”, peminat setia berdiri memberi standing ovation sambil bernyanyi seiringan. Bagaikan tidak mahu malam berakhir, kejutan sebiji kek ulangtahun ke-55 buat Amir UK’s memberi impak terkesan buat beliau. 5,000 peminat setia UK’s dan Slam berkongsi kegembiraan dan mengabadikan nya dalam kotak ingatan sampai bila-bila.
Kreatif dan imaginatif nya seorang Zamberi Shaari atau lebih mesra disapa dengan nama Bombay, apabila dengan beraninya menghasilkan produksi premium dibawah label Bombay Legend Worldwide bergabung bersama AMIRUKS Entertaintment. Komposisi dan fokus beliau dalam mengendalikan konsert berskala besar adalah dikagumi dan terus memberi inspirasi. Berani bermain dengan risiko, Konsert Muzikal UK’SLAM telah berlangsung dengan jayanya di Stadium Malawati, dan rata-rata peminat yang hadir mengukir senyum puas hati.
Sukses dan menghiburkan, sekalung tahniah wajar diucapkan. Konsert yang berlangsung meriah slama 3 jam itu menjadi mercu tanda sejarah dalam industri muzik tanahair.