Diana Danielle, Francis Roman Satukan Budaya Dalam ‘Raya Macam Mana?’
Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir, pelakon dan penyanyi terkenal, Diana Danielle tampil dengan pendekatan segar menerusi kolaborasi istimewa bersama rapper meningkat naik, Francis Roman dalam single raya terbaharu berjudul Raya Macam Mana?.
Lagu berentak ceria dan moden itu membawa kelainan dalam deretan lagu raya tempatan yang lazimnya sarat dengan elemen nostalgia. Menerusi konsep dialog muzik yang unik, Francis mengajukan persoalan mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, manakala Diana menjawab dengan menjelaskan tradisi dan kemeriahan perayaan tersebut.
Menariknya, Diana turut menyelitkan lirik dalam bahasa Mandarin sebagai simbol proses pembelajarannya selain mencerminkan kepelbagaian budaya dalam masyarakat Malaysia.
CEOMAN Entertainment Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, pendekatan itu secara tidak langsung menonjolkan semangat perpaduan apabila rakyat Malaysia saling menghargai dan meraikan budaya antara satu sama lain.

Menurutnya, lagu berkenaan turut diperkukuhkan dengan segmen rap bertenaga daripada Francis yang menambah warna kontemporari pada naskhah tersebut.
“Pada masa sama, mesej yang disampaikan cukup jelas bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri boleh difahami dan diraikan oleh sesiapa sahaja walaupun datang daripada latar belakang budaya yang berbeza,” katanya sewaktu sidang media pelancaran lagu tersebut yang telah berlangsung di Red Box The Gardens Kuala Lumpur pada 10 Mac yang lalu.
Bagi melengkapkan pelancarannya, single ini turut hadir dengan video muzik rasmi yang memaparkan suasana meriah sambutan Aidilfitri.
Video berkenaan memperlihatkan Diana dan Francis bersama sekumpulan rakan yang mula menghayati kemeriahan raya daripada mengenakan baju raya, berdepan kesesakan trafik ketika pulang ke kampung sehinggalah menikmati hidangan tradisi seperti nasi impit, rendang dan Snek Ku.
Babak pertemuan semula keluarga serta suasana rumah terbuka yang meriah turut menjadi inti visual video tersebut, diserikan dengan gerak tari santai yang dikoreograf bersama oleh Francis selain dekorasi raya berwarna-warni.
Berkongsi pengalaman pembikinan video muzik berkenaan, Diana berkata penggambaran dilakukan beberapa minggu sebelum Ramadan dengan melibatkan banyak lokasi berbeza.

“Saya sudah lama tidak masuk set untuk penggambaran video muzik. Untuk projek ini, lokasi penggambaran sangat banyak sehingga terasa seperti menjalani penggambaran filem,” katanya.
Menurut Diana, antara cabaran terbesar dalam lagu ini ialah menyanyikan bahagian lirik Mandarin yang memerlukan latihan serta penyesuaian sebutan.
“Saya sudah belajar bahasa Mandarin hampir tiga tahun, tetapi masih di peringkat asas. Jadi, menyanyikan lirik Mandarin dalam lagu ini memang mencabar, namun saya sangat menghargai pengalaman ini,” katanya.
Sementara itu, Francis berkata idea menghasilkan lagu tersebut juga lahir daripada pengalamannya sendiri yang membesar dalam persekitaran masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, walaupun bersekolah di sekolah Cina, kebanyakan rakan baiknya terdiri daripada orang Melayu sehingga membuatkan dia lebih memahami budaya mereka.
“Rakan-rakan Melayu banyak berkongsi pengalaman tentang puasa, berbuka dan juga aktiviti selepas terawih seperti moreh. Dari situ saya rasa sangat dekat dengan budaya Melayu,” katanya.
Tambah Francis, harapannya menerusi lagu itu adalah untuk menonjolkan nilai keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bahasa.
“Lagu ini menampilkan elemen silang budaya yang jelas. Seorang bukan Melayu bertanya tentang sambutan raya, manakala seorang Melayu berkongsi tentang tradisi itu. Ia menggambarkan Malaysia yang harmoni,” katanya.
Secara keseluruhannya, Raya Macam Mana? bukan sekadar lagu perayaan, tetapi juga gambaran keharmonian masyarakat Malaysia yang terus menjadi identiti utama negara setiap kali Syawal menjelang.
Tonton video muzik rasmi “Raya Macam Mana?” di: https://www.youtube.com/watch?v=TOt0h9twR54
