DIA MISHA OMAR: Malam Gelora, Magis & “Rasa” Yang Tidak Mungkin Ditiru
Kredit Foto: Altus Prohouse
Selepas kejayaan showcase intim Back To Basic di Odeum at Jiospace pada Disember 2024, penyanyi tersohor Misha Omar akhirnya melangkah ke pentas lebih besar menerusi Konsert Dia Misha Omar, sebuah perayaan seni dan perjalanan karier yang merentasi lebih dua dekad.
Berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur dan disaksikan hampir 4,000 peminat, Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 43 tampil dengan rangkaian 21 lagu hit termasuk beberapa susunan semula yang membuatkan dewan seakan bergetar.
Prop DIA Misha Omar juga tidak dibina dengan prop mewah atau koreografi raksasa, tetapi dengan jiwa seorang penghibur yang sudah cukup matang untuk tahu bahawa magis sebenarnya datang daripada rasa bukan sorotan lampu.
Malah ianya bukan sekadar malam persembahan tetapi malam dimana seorang wanita yang telah bertarung selama 23 tahun kembali duduk di takhta yang selayaknya miliknya bukan dirampas, bukan diberi, tetapi dibina dari keringat, kesunyian studio, getaran mikrofon, dan luka-luka halus yang menjadikan seni itu bernyawa.

Konsert yang dianjurkan Double M Productions dengan Altus Prohouse sebagai pengelola itu turut memperlihatkan kekuatan produksi tempatan dari segi susunan muzik, mutu bunyi dan persembahan keseluruhan.
Tiada set futuristik. Tiada percikan api. Tiada keghairahan glamor. Cuma silhouette hitam, visual minimalis, dan pencahayaan yang menari tepat mengikut degup hati setiap lagu. Namun itulah power apabila seorang penyanyi berdiri di tengah pentas tanpa perisai mahu pun helah, dan masih cukup kuat untuk membuat ribuan penonton terpaku.
Susunan muzik oleh Sze Wan terasa seperti jantung yang memacu seluruh persembahan padat, terukur, dan sengaja memberi ruang untuk vokal Misha “bernafas” dengan tekstur yang selama ini menjadi rahsianya.


Ada momen tertentu yang membunuh waktu. Saat intro Bunga Bunga Cinta dimainkan, seluruh dewan berhenti bernafas. Bukan kerana nostalgia, tetapi kerana lagu itu di tangan Misha masih hidup, masih berdarah, masih membawa luka-luka lama yang tidak pernah kering.
Begitu juga dengan Ku Seru, Pulangkan, Lilitan Asmara, Dedebu Cinta, Angin Syurga semuanya dipersembahkan bukan seperti lagu-lagu lama, tetapi seperti ritual yang menyatukan hati dan jiwa khlayak yang hadir dalam satu denyut emosi.
Ketika Misha memperkenalkan anaknya, Idris, 9, untuk menyanyikan Destiny, seluruh dewan berubah menjadi filem. Bukan filem drama murahan, tetapi filem yang menyentuh tanpa memaksa dimana apabila seorang ibu melihat bayangan dirinya tumbuh di sebelahnya, dan penonton menjadi saksi sebuah warisan yang baru bermula.


Idris tidak cuba menjadi bintang. Dia cuma menjadi anak kecil yang menyanyi dengan jujur. Dan kejujuran itu lebih kuat daripada apa pun.
Sewaktu segmen akhir, Misha dengan jujur berkongsi perbualannya bersama mentor, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, dimana arwah pernah memberitahunya bahawa suara saya hanya biasa-biasa sahaja. Tapi ada rasa…”

Di sinilah kebenaran seni itu berdiri.Dalam dunia muzik dan industri yang obses dengan decibel, teknik dan range, Misha membuka satu kebenaran paling besar iaitu ‘Rasa’ dan malam itu, “rasa” itulah yang menjadikan setiap lagu terasa seperti peluru yang ditembak tepat ke dada penonton.
Apa yang dilakukan Misha bukan sekadar menyanyi. Ia lebih seperti membuka lembaran sebuah diari rahsia kepada orang ramai.
Balada-balada yang dibawa seperti Sampai Bila, Tanpa Rela, Masihkah Ada Rasa Itu terdengar seperti autopsi kepada tubuh emosi masyarakat Malaysia yang terlalu biasa memendam, terlalu biasa menyimpan, terlalu biasa patah dalam senyap.
Di tangan penyanyi lain, lagu-lagu itu mungkin sekadar lagu cinta. Di tangan Misha, ia menjadi mantra sesuatu yang menggoncang, yang meresap, yang membuat penonton diam dan hanya mahu mendengar.

Dia datang sebagai seorang pejuang seni, yang menyimpan “peluru berpandu” vokalnya, memilih masa menyerang, dan ketika dia melepaskannya ia bukan sekadar kuat, ia tepat, menggegarkan, dan elegan. Konsert ini bukan hanya persembahan tetapi ia pernyataan kuasa.
Konsert Dia Misha Omar bukan sekadar pertunjukan tetapi ia adalah manifestasi kepada dedikasi seorang penghibur sejati, perjalanan penuh disiplin selama dua dekad, dan bukti bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi warisan rasa dalam budaya pop negara.
Sebagaimana ribuan peminat yang pulang dengan hati penuh bangga, malam itu juga menjadi saksi bahawa DIA MISHA OMAR, seorang pejuang muzik yang tidak pernah culas menunaikan cintanya terhadap seni.

