Dewa 19 Kembali Gegar KL, Janji Persembahan Lebih ‘Gila’ 6 Jun Ini
Konsert Cintaku Tertinggal Di Malaysia Hadir Dengan Pengalaman Eksklusif, Kolaborasi Bersama Padi Reborn Dan Aksi Dua Pemain Dram Di Atas Pentas.
Kali terakhir menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert “A Night at The Orchestra – Chapter 5” yang berlangsung pada 29 September 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Kemunculan Dewa 19 ketika itu nyata mencetuskan fenomena apabila ribuan peminat membanjiri lokasi persembahan sehingga mencatat kehadiran luar biasa dalam kalangan Baladewa dan Baladewi tempatan.
Kini, selepas tiga tahun menanti, legenda rock Indonesia itu kembali bagi mengubat kerinduan peminat menerusi konsert mega bertajuk Cintaku Tertinggal Di Malaysia yang bakal berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena.
Pengumuman konsert berkenaan dibuat sendiri oleh tonggak utama kumpulan itu, Ahmad Dhani bersama Iman Tang yang juga Pengarah Icon Entertainment dalam satu sidang media khas di Jakarta pada 22 Febuari lalu.
Menurut Iman, pemilihan judul Cintaku Tertinggal Di Malaysia bukan sekadar nama konsert, sebaliknya simbolik kepada hubungan erat antara Dewa 19 dan peminat mereka di negara ini.

“Judul ini dipilih sebagai simbol kedekatan emosional antara Dewa 19 dan para peminat di Malaysia. Setiap kali mereka datang ke sini, pasti ada kenangan yang tertinggal,” katanya.
Tambahnya, keputusan untuk tidak membawa Dewa 19 tampil setiap tahun di Kuala Lumpur adalah strategi bagi memastikan keterujaan peminat sentiasa berada pada tahap maksimum setiap kali mereka kembali.
“Memang sengaja tak datang setiap tahun supaya peminat rindu. Kali ini kami juga akan umumkan sesuatu yang istimewa pada malam konsert nanti,” katanya memberi bayangan kejutan eksklusif buat penonton.

Konsert kali ini bakal menyaksikan barisan mantap apabila Ari Lasso, Virzha, Ello serta bekas drummer ikonik, Tyo Nugros turut menyertai persembahan.
Kehadiran Tyo dikatakan antara permintaan paling tinggi daripada peminat Malaysia sendiri yang mahu melihat formasi klasik kembali bersatu di pentas.
Lebih menarik, pihak penganjur turut menyediakan kamera khas di set dram Tyo bagi memberi pengalaman visual lebih dekat kepada peminat selain pakej eksklusif Dinner With Dewa 19 yang akan ditawarkan secara terhad.
Ahmad Dhani memberi bayangan bahawa konsert kali ini bakal tampil dengan konsep yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

“InsyaAllah di Kuala Lumpur nanti akan ada dua pemain drum di atas pentas. Kita akan tampilkan sesuatu yang lebih besar dari segi muzik dan visual,” katanya.
Selain itu, Dhani turut memberi bayangan bahawa peminat bakal disajikan dengan kolaborasi istimewa bersama Padi Reborn yang akan membuka tirai persembahan.
“Siapa tahu nanti Padi Reborn akan memainkan lagu Dewa 19, dan Dewa 19 pula memainkan lagu Padi Reborn. Kita mahu buat sesuatu yang berbeza untuk peminat di Malaysia,” katanya.

Tidak sekadar persembahan rock, Dhani turut mendedahkan bahawa beliau akan membawakan lagu klasik Madu Tiga sebagai tanda penghormatan kepada seniman agung negara.
“Saya juga akan menyanyikan lagu Madu Tiga ciptaan Tan Sri P. Ramlee sebagai tribute kepada legenda Malaysia,” katanya.
Lebih menarik, pihak penganjur turut menggalakkan peminat yang hadir untuk tampil dengan tema pakaian khas sebagai tanda sokongan kepada artis kegemaran mereka.
“Kami galakkan peminat yang datang memakai t-shirt rasmi Dewa 19 atau Padi Reborn sebagai tanda sokongan kepada kedua-dua kumpulan ini. Yang penting, pastikan ia original,” ujar Iman Tang.
Konsert ini dianjurkan oleh Icon Entertainment yang sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan Dewa 19 sejak sekian lama.

Bagi peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada momen bersejarah ini, tiket ditawarkan dalam lima kategori dengan harga CAT 5 – RM238, CAT 4 – RM288, CAT 3 – RM338, CAT 2 – RM388 dan CAT 1 – RM488
Jualan tiket akan mula dibuka pada 27 Februari 2026, jam 11 pagi menerusi platform Tiket2U.
