Deep Purple Live in Malaysia: Satu-Satunya Konsert Di Asia Tenggara Bakal Gegarkan Mega Star Arena 23 November Ini

Gelombang konsert rock terus membadai tanah air apabila kumpulan legenda rock British, Deep Purple, mengesahkan Kuala Lumpur sebagai satu-satunya lokasi persinggahan di Asia Tenggara dalam rangka jelajah mereka. Konsert bersejarah ini bakal berlangsung pada 23 November 2025 di Mega Star Arena, dan dianjurkan oleh penganjur ternama, Hitman Solutions.
Kemunculan semula Deep Purple ke Malaysia selepas lebih 15 tahun bukan sekadar persembahan nostalgia, tetapi juga sebuah pengiktirafan kepada warisan muzik rock yang telah mereka bentuk selama lebih lima dekad.
Ditubuhkan pada tahun 1968, Deep Purple dianggap antara perintis utama hard rock dan heavy metal, bersama Led Zeppelin dan Black Sabbath. Mereka mencetuskan gelombang revolusi muzik era 70-an dengan bunyi yang memadukan gitar bertenaga, organ Hammond, vokal lantang, dan solo-solo instrumental yang mencabar batas tradisi muzik popular ketika itu.

Antara barisan asal dan ikonik mereka termasuk Ritchie Blackmore, Ian Gillan, Jon Lord, Roger Glover, dan Ian Paice. Kesemuanya dikenali kerana kehebatan teknikal dan kreativiti muzik yang tiada tandingan. Album seperti “Machine Head” dan “In Rock” serta trek abadi seperti “Smoke on the Water”, “Highway Star”, dan “Lazy” telah menjadi rukun asas dalam pembelajaran muzik rock moden hingga ke hari ini.
Kejayaan mereka tidak hanya diukur melalui penjualan melebihi 100 juta unit di seluruh dunia, tetapi juga melalui penghormatan industri seperti Rock and Roll Hall of Fame (2016), Legend Award di World Music Awards, dan pujian kritikal antarabangsa.
Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, kini menyaksikan kebangkitan semula genre rock dengan penganjuran beberapa konsert berskala besar oleh nama-nama tersohor antarabangsa. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pengaruh muzik rock klasik semakin mendapat tempat bukan sahaja di kalangan peminat lama, tetapi juga generasi muda yang mula mendekati muzik analog dan elemen ‘old school’.
Menurut CEO Hitman Group, Rohit Rampal, konsert ini adalah bukti komitmen mereka untuk menyokong trend tersebut:
“Ada kebangkitan jelas dalam minat terhadap konsert rock di Malaysia. Deep Purple ialah antara pelopor sebenar genre ini, dan menjadi satu penghormatan besar untuk membawa mereka kembali ke Kuala Lumpur selepas 15 tahun.”
“Kita mahu generasi baru alami sendiri kehebatan live performance yang benar-benar tulen, dan pada masa sama memberi penghormatan kepada peminat setia yang telah menanti sekian lama. Dengan Kuala Lumpur sebagai satu-satunya lokasi Asia Tenggara, ini bukan sekadar konsert – ia peristiwa muzik.”
Tiket ‘Deep Purple Live In Malaysia’ akan mula dijual pada 30 Julai 2025 jam 12 tengah hari menerusi www.hitmanlive.com. Kategori tiket adalah seperti berikut: Rockzone – RM399, General Admission – RM359, Gold – RM599, Silver – RM499 dan Bronze – RM299. Peminat juga boleh mendapatkan Royal Twin Seat – RM2,099 (termasuk lanyard eksklusif & poster rasmi).

Para peminat muzik rock tanah air kini berpeluang menyaksikan sendiri legenda yang menjadi inspirasi kepada ribuan pemuzik dunia, satu malam yang dijanjikan penuh tenaga, semangat, dan sejarah yang hidup di atas pentas.