November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Datuk Khadijah Ibrahim Tampil Istimewa Dengan Lagu Raya Terkini

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

“Syukurnya Raya, Vit’s Kan Ada” judul diberi bagi lagu dan muzik video raya yang dilancarkan bersempena bulan Ramadhan ini oleh Vit’s (jenama mi segera buatan Malaysia) yang sekian lama bertapak di Malaysia sejak 1975 lagi. Vit’s yang juga pemegang sijil Halal Jakim semenjak 1980an telah melebarkan sayapnya ke lebih 25 pasaran antarabangsa. Lagu berentak catchy itu memberikan gambaran nuansa hari raya yang ceria dari susunan muzik dan senikata lagu.

Ingin membawakan sedikit kelainan, Vit’s mendapat ilham untuk menerbitkan lagu raya dengan penampilan secara khas dan istimewa oleh penyanyi lagenda negara YBhg Datuk Khadijah Ibrahim yang menyuntik aura nostalgia 70an ke dalam lagu raya tersebut. Lagu “Syukurnya Raya, Vit’s kan Ada” mengambil masa lebih kurang 1 bulan bagi menghasilkan muzik video kreatif dengan memaparkan suasana beraya pada zaman 1970an diturut-sertakan transformasi ke zaman moden terkini bersesuaian dengan perjalanan di sebalik jenama Vit’s itu sendiri. Segalanya bermula apabila lirik dihasilkan oleh Baizura Tazri, dimuat-naik ke dalam melodi ciptaan Syahir Miswan bertemu dengan gabungan susunan muzik oleh Aliyas Zakaria beserta konsep penceritaan muzik video dari idea Hairul Asyraf, terhasil lah produk raya yang memeriahkan lagi industri muzik tanahair, mengisi senarai lagu-lagu raya sedia ada.

Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, Vit’s lebih cenderung memberi fokus kepada pelbagai promosi seperti drama raya yang menyelitkan pesan moral dan unsur-unsur pengajaran dalam kehidupan, demi inisiatif mendekatkan jenama dengan pengguna di Malaysia, dimana rata-ratanya lebih terhibur dengan persembahan drama atau sketsa di bulan Ramadhan dan menjelang Aidilfitri. Ditemui ketika Majlis Pelancaran Muzik Video dan Lagu Raya pada 21 Mac baru-baru ini, bertempat di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Vit’s iaitu Encik YT Lai berkata, “Tahun ini Vit’s telah membawa banyak kelainan dalam penghasilan produk yang lebih memikat selera. Antaranya ialah Pan Mee Segera, mi segera terbaharu yang memiliki tekstur mi yang lebih tebal dan kenyal dengan perisa ayam penyet. Sangat sesuai untuk dimakan seisi keluarga.” ujarnya yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Noodlesman Malaysia’. “Anda perlu mencubanya untuk menilai sendiri, dapatkan segera di pasaran.”

Majlis pada hari itu dimeriahkan lagi dengan iftar bersama bagi mengeratkan silaturrahim pada yang hadir, turut diserikan dengan persembahan secara langsung oleh Datuk Khadijah Ibrahim  yang berbesar hati menyampaikan 2 buah lagu pada malam itu iaitu lagu wajib “Syukurnya Raya, Vit’s kan Ada” bagi mempromosikan lagu raya itu dan tidak ketinggalan mengajak semua mengimbas memori indah dengan lagu “Doa Buat Kekasih.”

Beliau turun dari pentas untuk bersalam-salaman dengan peminat, serta mengajak semua menyanyi bersama. Suasana malam terasa begitu meriah dengan hadirin yang sporting sing-along. Datuk Khadijah Ibrahim yang mengenakan busana kebaya hijau tampak berseri-seri dan begitu teruja dengan sambutan hangat itu. Satu kolaborasi yang bersatu dengan kemistri indah di antara jenama dan duta produk, memberikan vibes berhari-raya riang-ria bersama Vit’s.

Lagu “Syukurnya Raya, Vit’s kan Ada” ini boleh di stream secara digital rasmi di semua portal muzik digital dan media sosial mulai 21 Mac. Untuk informasi lebih lanjut tentang produk, sila lawati www.vitsnoodles.com.my


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page