Dato Shake Bakal Adakan Konsert di Kuala Lumpur 16 Disember Ini
Tanpa perlu pengenalan yang panjang, memadai sekadar menyebut namanya sahaja sudah membuatkan ramai pencinta beliau sudah tidak senang duduk mahu menonton persembahannya.
Kelompok peminat setianya barangkali lebih tersasar pada golongan sebaya beliau, namun, populariti Datuk Shake dalam kalangan generasi muda tidak sewajarnya dinafikan.
Biar selepas berdekad bermastautin di Perancis mencari rezeki sebagai anak seni di negara Eropah itu, kemesraan dan keakraban Shake dengan Malaysia sentiasa dipelihara.
Sesekali, beliau akan kembali ke tanah air memenuhi pelbagai undangan sama ada yang bersifat acara terbuka mahupun tertutup.
Namun, pada Disember ini, seniman berjiwa besar ini akan beraksi dalam sebuah konsert solo beliau sebagai memenuhi kehendak sejumlah besar peminat-peminatnya yang sudah lama menantikan peluang itu.
Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Umi, Pulanglah dan Anugerah Dari Kegagalan itu sudah siap sedia untuk mengubat kerinduan peminat beliau dalam pementasan yang akan diadakan di venue konsert popular di ibu negara Zepp Kuala Lumpur pada 16 Disember 2023.
Konsert yang akan diadakan itu bukan sekadar platform buat Shake menyanyikan rangkaian lagu popular beliau semata-mata. Sebalinya, jauh lebih utama pementasan ini akan mempamerkan perjalanan menakjubkan penerokaan kronologi kerjaya muziknya.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan penganjur konsert InTour Live Events, Shake akan mengadunkan persembahan di Kuala Lumpur dengan merangkumkan perjalanan seninya yang sudah berusia lebih empat dekad.
“Semua lagu terbaik dalam kerjaya muziknya akan dipersembahkan, iaitu lagu-lagu Melayu dan Perancis yang terkenal dan tidak dapat dilupakan yang merupakan koleksi malar hijau kegemaran ramai di kalangan rakyat Malaysia dan luar negara.
“Konsert Datuk Shake di Kuala Lumpur juga sebagai sebuah destinasi buat peminat kembali menggembara masuk ke masa silam dengan karya-karya hit beliau,” kata InTour Live Events.
“Kami sangat teruja untuk mempersembahkan Konsert Datuk Shake Zepp KL kerana peminat bukan sahaja dapat pulang dengan menggamit nostalgia menerusi lagu-lagu Melayunya malah akan terpesona dengan genre pop dan rock dalam bahasa Perancis dan Inggeris yang menjadikan beliau sebagai penghibur yang disegani.
“Dan lebih daripada itu, kami di InTour Live Events dan iMe Entertainment Group berharap Konsert Datuk Shake Zepp KL akan mengubat kerinduan peminat terhadap sang legenda kesayangan ramai,” kata kenyataan itu lagi.
Bagi Shake atau nama sebenarnya, Sheikh Abdullah Sheikh Ahmad Bahwere, kepulangannya menyantuni penggemar di bumi kelahiran tercinta adalah sebuah impian yang sudah dirancang sejak tahun 2020.
Bagaimanapun, segala hasrat seniman legenda berusia 73 tahun itu tertunda lantaran pandemik COVID-19 melanda dunia. Justeru, sebaik dilamar mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, Shake tidak mengambil masa untuk bersetuju.
“Janji pasti akan ditepati untuk peminat yang masih sayangkan saya. Pada tahun 2020, saya merancang untuk melakukan jelajah besar ke seluruh Malaysia dan Asia! Malangnya pandemik itu merosakkan rancangan semua orang termasuk saya!
“Kami penghibur memutuskan untuk bergerak ke hadapan dengan pertolongan dan kasih sayang Tuhan serta orang ramai. Nantikan untuk berjumpa anda tidak lama lagi Zepp KL!
“Saya akan kembali ke Malaysia dalam konsert pada 16 Disember 2023 ini. Jumpa anda semua nanti! Tidak sabar untuk membuat persembahan di Zepp KL kerana banyak ulasan yang bagus tentang Zepp sebagai salah satu pentas terbaik,” katanya penuh teruja.
Untuk mengembalikan nostalgia muzikal era 70-an 80-an 90-an dan kini, beliau akan membawakan perjalanan muzikal kerjayanya sejak 1976 hinggalah 2023 dengan menyanyikan lagu-lagu asalnya dalam tiga iaitu bahasa Perancis, Inggeris dan Melayu.
Peminat yang ingin menyaksikan persembahan Datuk Shake boleh mendapatkan tiket yang berharga Cat 1 – RM598 Cat 2 – RM498 Cat 3 – RM398 Cat 4 – RM458 Cat 5 – RM358. Sementara itu untuk *Kotak Premium – RM5,000 – untuk 8 pengunjung Tiket-tiket mula dijual pada 3 Oktober 2023, Selasa, jam 11 pagi di www.ticketcharge.com.my