Dato’ M. Nasir Persembahkan Semula Lagu Klasik “Nuri Terbang Malam” Untuk Generasi Baharu
Legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, sekali lagi mencetus inspirasi melalui rilisan terbarunya, sebuah lagu klasik awal 1900-an, “Nuri Terbang Malam”, yang telah digubah semula. Lagu ini dipercayai merupakan lagu Melayu pertama yang direkodkan pada piring hitam sekitar tahun 1903 oleh Gramophone Company dari United Kingdom. “Nuri Terbang Malam” asalnya dinyanyikan oleh Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang, dan dirakam di Singapura.
Lagu ini menggabungkan elemen muzik tradisional India dan Timur Tengah, mencerminkan pelbagai budaya di rantau ini pada masa itu. Liriknya berkisar tentang cinta yang tidak pernah pudar, seperti burung Nuri yang terus mencari di malam gelap. Dato’ M. Nasir menerbitkan semula lagu ini dalam versi rakaman baharu yang penuh emosi, menyuntik sentuhan kreatif yang unik untuk membawa karya ini kepada generasi baharu.
Projek ini adalah hasil kerjasama antara Luncai Emas Sdn Bhd dan World Business Affairs Sdn Bhd (WBA) dalam projek ‘100 Lagu 100 Tahun’, yang bertujuan menghimpunkan 100 lagu popular Melayu abad ke-20. Buku dan audio tentang sejarah lagu-lagu ini akan diterbitkan pada tahun 2025.
Produser Allahyarham Hanafi Hamdan atau Nafie Spider bertanggungjawab menyusun semula lagu ini dengan rentak yang lebih rancak tetapi tetap mengekalkan elemen tradisionalnya. Sebagai penghormatan, lagu ini turut menjadi dedikasi kepada arwah yang telah meninggal dunia pada November 2024 akibat strok.
Muzik video “Nuri Terbang Malam” yang diarah oleh Sha Bromo turut dilancarkan dengan konsep teater bangsawan tahun 1950-an, melibatkan persembahan Dato’ M. Nasir sebagai watak pencerita. Muzik video ini juga melibatkan pelajar dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Lagu “Nuri Terbang Malam” kini boleh didengari di semua platform digital seperti Youtube, Spotify, dan Apple Music bermula 3 Januari 2025.