July 16, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dato’ Khadijah Ibrahim Perkenal Sos Cili Pedas Ibu, Inisiatif Bantu Anak Seni Rentasi Dunia Seni dan Keusahawanan

Spread the love

Kredit Foto:  PapaDin

Dato’ Khadijah Ibrahim mengorak langkah berani dalam dunia keusahawanan apabila melancarkan produk terbaharunya, Sos Cili Pedas Ibu, secara rasmi di pasar raya ST Rosyam Mart, Jalan Kebun, pada 13 Julai lalu.

Pelancaran tersebut bukan sekadar memperkenalkan produk makanan tempatan berkualiti, tetapi menjadi platform usaha kendiri untuk membantu golongan anak seni yang terkesan terutamanya selepas impak pandemik. Sos Cili Pedas Ibu kini boleh didapati secara eksklusif di ST Rosyam Mart serta menerusi platform dalam talian seperti Shopee dan TikTok Shop.

Menurut Dato’ Khadijah, sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada wartawan hiburan, artis veteran serta penggiat seni yang memerlukan, sebagai satu bentuk solidariti dalam komuniti seni.

“Ini bukan hanya tentang sos, tapi tentang menjana peluang yang boleh menghidupkan semula maruah dan kehidupan mereka yang telah banyak menyumbang kepada dunia hiburan,” jelas beliau.

Sasaran awal pengeluaran mencecah 3,000 hingga 4,000 botol sebulan, dengan perancangan untuk memperkenalkan variasi lain termasuk sos tiram dan sos cili khas untuk nasi ayam menjelang hujung tahun ini. Usaha ini turut mendapat kerjasama agensi seperti FAMA, DMDI dan MATRADE untuk meneroka peluang eksport ke pasaran serantau seperti Singapura dan Brunei.

Dato’ Khadijah tidak pernah meletakkan noktah dalam dunia persembahan. Beliau kini giat menerajui projek Konsert Telan Kaset, satu penghargaan terhadap lagu-lagu malar segar era 80-an dan 90-an. Konsert tersebut dijangka memberi peluang kepada artis veteran dan muka baharu untuk kembali menyerlah dan menjana pendapatan.

“Kalau penyanyi asal sudah tiada, kita cari yang mampu sampaikan lagu itu dengan roh yang sama. Lagu bagus tak seharusnya dilupakan,” katanya.

Beliau juga merancang sebuah dinner show eksklusif pada September 2025, yang akan menampilkan Dayang Nurfaizah, Dato’ Hattan dan Mimi Fly, khusus untuk pasaran korporat.

Visi jangka panjang Dato’ Khadijah turut merangkumi pembangunan sebuah hab seni dan restoran berkonsepkan budaya di atas tanah seluas 14 ekar di Batang Kali, Hulu Yam. Projek ini disifatkan sebagai pusat pengembangan seni merentas generasi yang menggabungkan elemen persembahan, makanan dan pendidikan seni.

Dato’ Khadijah turut berkongsi perkembangan aktiviti seninya dimana beliau kini sedang dalam proses merakamkan lagu baharu berjudul “Hati Ini”, ciptaan Rendra Zawawi, sebagai penghargaan terhadap legasi seni keluarganya.

Dengan lebih empat dekad dalam industri, Dato’ Khadijah kekal komited terhadap tanggungjawabnya kepada dunia seni.

“Jangan pernah tinggalkan perjuangan. Peminat setia tidak boleh dibeli dengan wang. Kita harus jaga maruah seni, dan terus memberi dengan ikhlas.”ujarnya menutup bicara


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page