January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dato’ Aishah Hadiahkan “Taman Keabadian” Buat Peminat

Spread the love

Legenda muzik tanah air, Dato’ Aishah kembali mengubat rindu peminat dengan single terbaharunya berjudul Taman Keabadian, sebuah balada syahdu ciptaan komposer muda berbakat, Senna, yang sarat emosi dan penghayatan.

Setelah hampir empat dekad mencipta nama dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa, Dato’ Aishah membuktikan bahawa beliau masih teguh berdiri sebagai penyanyi yang relevan dan terus menyentuh hati pendengar pelbagai generasi. Lagu Taman Keabadian bukan sekadar hadiah buat para peminat, tetapi juga simbol keutuhan dan cinta beliau terhadap seni.

Lagu ini menyentuh tema perpisahan dan kerinduan terhadap insan-insan tersayang yang telah pergi – sama ada ibu bapa, ahli keluarga, sahabat, mahupun rakan seperjuangan. Di sebalik kesedihan yang dibawa bait-bait liriknya, terbit juga sinar harapan bahawa pertemuan semula akan berlaku di satu tempat abadi.

“Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negara abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati. Berdoalah dan yakinlah kerana kita juga pasti menyusul dan bertemu semula di sana… di sebuah tempat dinamakan Taman Keabadian,” kata Dato’ Aishah penuh tulus.

Menurut Senna, lagu ini dicipta khusus untuk Dato’ Aishah kerana percaya hanya beliau mampu menyampaikan maksud lagu ini dengan sepenuh jiwa.

“Lagu ini menuntut lebih daripada sekadar vokal yang baik. Ia perlu disampaikan dengan roh dan emosi yang mendalam. Saya yakin hanya Dato’ Aishah mampu membawa lagu ini ke tahap itu. Beliau menyanyi dengan seluruh jiwanya,” jelas Senna.

Bagi Dato’ Aishah, lagu ini juga merupakan satu dedikasi buat mereka yang sedang berhadapan dengan kehilangan, dan diharapkan dapat menjadi sumber ketenangan dan kekuatan.

“Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pun pergi ke negara abadi. Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat. Ini adalah hadiah saya buat anda semua,” ujarnya.

Dato’ Aishah, atau nama sebenarnya Wan Aishah binti Wan Ariffin, memulakan kerjaya muziknya sebagai vokalis kumpulan Aishah & The Fan Club di New Zealand pada era 1980-an. Lagu-lagu seperti Don’t Let Me Fall Alone dan album Sensation melonjakkan nama beliau ke persada antarabangsa, menjadikannya artis Malaysia pertama yang menembusi carta Billboard.

Sekembalinya ke tanah air, beliau mencipta kejayaan sebagai penyanyi solo dengan deretan lagu balada ikonik seperti Janji Manismu, Cinta Beralih Arah, Bahtera Merdeka, dan Kemaafan Dendam Yang Terindah yang masih kekal relevan hingga ke hari ini.

Dengan pelbagai anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Industri Muzik (AIM), serta pengurniaan gelaran “Dato’” atas sumbangannya dalam seni suara, Dato’ Aishah kini dianggap sebagai ikon budaya dan khazanah negara.

“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus menyanyi dan berkarya. Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah sebahagian daripada hidup saya, dan saya harap ia juga menjadi sebahagian daripada hidup orang lain,” katanya.

Peminat boleh mengikuti perkembangan terkini Dato’ Aishah di laman Instagram dan TikTok @aishahjmm, di mana beliau turut berkongsi semula versi baharu dan remastered lagu-lagu malar segarnya seperti Janji Manismu, Fatwa Pujangga, Sensation, dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu.

Single Taman Keabadian akan mula dilancarkan di semua platform penstriman digital bermula 8 Ogos 2025.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page