September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Cromok dan A.C.A.B. Bakal Menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada Mac 2024

4 min read
Spread the love

Para peminat muzik rock dan metal tanahair kini boleh bersedia untuk sebuah malam epik dalam sejarah rock Malaysia apabila dua kumpulan legenda Malaysia, Cromok dan A.C.A.B telah dijadualkan untuk muncul bersama pada sebuah konsert yang diberi judul ‘Clash of the Titans’ pada 9 Mac 2024, bertempat di Zepp Kuala Lumpur. Dengan kemunculan kedua-dua kumpulan ini pada konsert yang sama, ianya pasti akan menjadi sebuah acara konsert yang monumental, menjanjikan gabungan muzik metal dan Oi! yang pasti akan membuatkan peminat-peminat kedua-dua kumpulan ini merasa teruja.

Bagi sesiapa sahaja di Malaysia yang menghargai muzik rock atau menjejaki evolusi muzik rock di negara ini, nama A.C.A.B. sudah pasti nama yang tidak asing lagi. Dianggap sebagai legenda skinhead dan muzik Oi! di Malaysia, kumpulan tersebut yang ditubuhkan pada 1990-an, telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan di dalam pesada muzik rock Malaysia. Terkenal dengan lagu hits seperti ‘Where Have all the Bootboys Gone,’ ‘Skinhead For Life’, ‘Fight For Your Right’ serta banyak lagi lagu-lagu lain mereka yang telah menjadi begitu ikonik, muzik mereka bergema dengan semangat memberontak belia Malaysia dari pertengahan 1990-an sehingga zaman kini.

Menurut Megat Hafiz atau Max A.C.A.B, yang merupakan pemain gitar dan vokal A.C.A.B. dan juga seorang individu yang begitu sinonim dengan nama A.C.A.B., beliau merasa teruja dengan konsert yang akan datang tersebut, dan komen beliau tentang konsert itu bolehlah dibaca pada sebuah hantaran pada akaun Facebook beliau, dimana pada hantaran Facebook tersebut, Megat berkata beliau berharap para peminat A.C.A.B. akan memenuhi Zepp Kuala Lumpur pada malam itu.

A.C.A.B. dilihat bergambar bersama peminat mereka yang datang menyaksikan konsert mereka di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada bulan Disember lepas.

“Ready for this, guys? A night of Metal & Oi! legends in concert, Cromok × A.C.A.B. live at Zepp, KL on March 2024! Semuanya dah finalise & lawatan telah pun dibuat oleh Max A.C.A.B. & Karl Cromok ke live venue bertaraf antarabangsa, Zepp yang terletak di Jalan Hang Tuah ini semalam & kita akan buat pengumuman dalam masa terdekat.

“Zepp selain dilengkapi dengan peralatan high end & top notch yang baru dibuka di ibukota ini juga boleh menampung lebih dari 2,300 orang & harapan ialah followers & fans A.C.A.B. serta Cromok nanti dapat memenuhkan venue berprestij ini pada bulan March sebelum Ramadhan! Ada sesiapa nak pergi tak concert ni nanti? Stay tuned for more updates! Zigger Zagger, Zigger Zagger… Oi! Oi! Oi!,” kata Megat pada hantaran Facebook tersebut.

Menambah lapisan keterujaan tambahan untuk mereka yang ingin menyaksikan konsert Clash of the Titans, Andy dari kumpulan Flop Poppy juga akan membuat penampilan bersama A.C.A.B. pada konsert itu juga, dimana beliau akan bertindak sebagai pemain bass untuk A.C.A.B.. Beliau yang merupakan pemain gitar dan vokal Flop Poppy juga telah mengesahkan kemunculan beliau bersama A.C.A.B. untuk acara Clash of the Titans tersebut pada sebuah hantaran di akaun Facebook beliau.

“Assalamualaikum… tidaklah menjadi satu rahsia lagi aku akan menyandang posisi bass untuk A.C.A.B…. InsyaAllah… dah boleh menabung kawan-kawan semua… will update from time to time… Zegga zagga,” kata Andy pada hantaran Facebook tersebut.

Megat (kiri) dilihat bersama pemain gitar Cromok, Karl, di Zepp Kuala Lumpur untuk memeriksa venue bagi persiapan untuk konsert Clash of the Titans tersebut baru-baru ini.

Di sisi lain Clash of the Titans, konsert itu akan menyaksikan penampilan Cromok, sebuah band thrash metal lagenda Malaysia yang telah menjadi pelopor dalam genre itu sejak penubuhannya. Ditubuhkan oleh empat warga Malaysia pada tahun 1987 ketika mereka sedang melanjutkan pelajaran di Australia, Cromok terkenal dengan lagu hits seperti ‘Misty’, ‘Another You’, dan ‘I Don’ t Belong Here’, dengan sejumlah tujuh album studio yang telah dihasilkan oleh mereka.

Cromok, yang kini berpangkalan di Kuala Lumpur, akan kembali beraksi di Zepp Kuala Lumpur kali ini untuk konsert Clash of the Titans setelah mengadakan konsert ulangtahun ke-30 mereka di venue yang sama pada tanggal 14 Oktober tahun lepas.

Konsert tersebut telah mendapat sambutan yang sangat baik bukan sahaja daripada peminat mereka, tetapi juga para peminat muzik metal tempatan yang datang beramai-ramai untuk menghadiri acara tersebut. Maka dengan itu, kemunculan Cromok kali ini sudah pasti dapat menarik perhatian ramai para peminat yang inginkan sajian muzik metal pada konsert ‘Clash of the Titans’ tersebut juga.

Cromok kelihatan sedang beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada bulan Oktober tahun lepas untuk konsert ulangtahun ke-30 mereka.

Ketika peminat kedua-dua kumpulan A.C.A.B. dan Cromok menantikan kedatangan tarikh Clash of the Titans di Zepp Kuala Lumpur pada 9 Mac 2024, mereka sudah tentu tahu yang mereka akan menyaksikan sebuah acara unik yang menyaksikan penggabungan sajian muzik Oi! A.C.A.B dan muzik thrash metal oleh Cromok. Oleh kerana itu, konsert ini dijangka akan bakal menjadi sebuah acara yang epik, penuh dengan kenangan untuk sesiapa sahaja yang menghadirinya.

Tiket konsert Clash of the Titans akan mula dijual di laman web www.myticketempire.com pada 14 Januari 2024, jam 1 petang.

Fliers untuk konsert Clash of the Titans

Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page