Cradle Hidup Semula Dengan “Hela Nafasku”
Persembahan Eksklusif “Cradle Live!” Di Poolside Bistro, Hotel Ideas Pada 14 November Ini
Selepas hampir dua dekad menyepi, band rock alternatif legenda, Cradle akhirnya kembali mewarnai persada muzik tanah air dengan album studio baharu berjudul Hela Nafasku, sebuah naskhah yang menandakan kebangkitan semula mereka dalam era muzik moden.
Cradle, yang mula mencipta nama menerusi aliran grunge era 90-an, kini tampil segar dengan barisan anggota baharu, namun masih mengekalkan semangat asal kumpulan yang terkenal dengan lagu Ayu itu.
Pengasas dan pemain gitar utama, Addy Rasidi, berkata Hela Nafasku mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan, dan pelancarannya bertepatan dengan ulang tahun ke-30 penubuhan Cradle.
“Album ini amat peribadi buat saya. Ia bukan sekadar tanda Cradle kembali, tapi kesinambungan legasi muzik nusantara yang kami perjuangkan sejak dulu,” katanya ketika ditemui media pada sesi latihan di Studio Kelana Jaya, baru-baru ini.
Menurut Addy, hasrat untuk menghidupkan semula Cradle sudah lama terpendam, namun hanya kali ini impian itu direalisasikan sepenuhnya selepas beliau memberi tumpuan kepada projek solo selama beberapa tahun.
“Sekarang tiba masanya Cradle bangkit semula, sebagai warisan muzik untuk generasi baharu,” ujarnya.
Addy kini menerajui Cradle bersama Eiz Mohd sebagai vokalis, Zul Wahab (bass) dan Adha Lizam (dram). Namun, perjalanan membentuk barisan baharu ini bukan mudah.
“Pada awalnya, hanya saya dan Eiz di studio. Proses mencari pemuzik lain mengambil masa agak lama. Kehadiran Zul pula berlaku secara tidak sengaja, ketika sesi santai bersama juruteknik gitar, arwah Aji. Dari situ, dia terus bersetuju untuk bersama kami,” jelasnya.
Tambah Addy, kemasukan Adha pula membawa tenaga segar kepada kumpulan selepas dia tertarik dengan potensi Adha menerusi video persembahannya yang tular.
“Adha sendiri menghubungi saya untuk bertanya sama ada Cradle masih perlukan pemain dram. Bila saya lihat dia bermain, saya tahu dia memang ditakdirkan untuk berada dalam Cradle,” ujarnya.
Cradle mula mencipta nama menerusi album sulung Gurindam Keluli (1996) sebelum mengukuhkan kedudukan mereka dengan album kedua Ceritera Awan, yang melayakkan mereka memenangi Lagu Terbaik dan Album Terbaik Tahun 2008 di Anugerah Planet Muzik menerusi lagu Ayu.

Sementara itu, Eiz Mohd, yang pernah menjadi vokalis kumpulan Gerilia, mengakui penyertaan dalam Cradle merupakan tanggungjawab besar yang datang bersama tekanan dan harapan tinggi peminat.
“Saya tahu ia bukan tugas mudah, tapi saya percaya gabungan kami berempat menjadikan Cradle lebih matang dan berbeza. Cradle punya warna muzik tersendiri yang tak banyak band tempatan bawa,” katanya.
Album Hela Nafasku memuatkan 11 lagu baharu, dengan sebahagiannya hasil ciptaan Addy dan Eiz sendiri. Single pertama, Ayuh!, menjadi pembuka tirai kepada perjalanan baharu Cradle dalam era muzik moden.
Sebagai meraikan kemunculan semula mereka, Cradle bakal mengadakan persembahan istimewa Cradle Live! di Poolside Bistro, Hotel Ideas, Kuala Lumpur pada 14 November ini, dengan Datuk Ramli Sarip dijangka tampil sebagai tetamu khas.
