October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Coolie’, Rajinikanth Buktikan Usia Hanya Angka

Spread the love

Selepas beberapa tahun menyepi daripada projek aksi berskala besar, Rajinikanth kembali menggegarkan pawagam menerusi Coolie, karya terbaru arahan Lokesh Kanagaraj yang menggabungkan intensiti aksi, sentuhan emosi, dan nostalgia era kegemilangan superstar ini.

Berdurasi hampir tiga jam, Coolie bukan sekadar memaparkan perjalanan seorang bekas ketua kesatuan pelabuhan bernama Deva, tetapi juga menjadi pentas meraikan warisan seorang ikon sinema Tamil. Pada usia 74 tahun, Rajinikanth membuktikan usia hanyalah angka, setiap langkahnya di layar penuh wibawa, dialognya menusuk ke hati, dan senyuman sinisnya terus mencetuskan sorakan di pawagam.

Selain Rajinikanth, Shruti Haasan mencuri perhatian sebagai Pretty, watak yang seimbang antara ketegasan dan kelembutan, memberikan nadi emosional kepada naratif. Nagarjuna pula tampil berkesan sebagai antagonis licik, menambah ketegangan pada setiap babak konfrontasi. Kemunculan khas Aamir Khan di babak penting mencetuskan kejutan yang disambut dengan jeritan penonton.

Lokesh Kanagaraj menggarap Coolie dengan keseimbangan antara fan service dan penceritaan. Sinematografer Girish Gangadharan mempersembahkan visual kaya dengan pencahayaan dramatik dan frame memukau, manakala kesan visual untuk adegan Rajinikanth versi muda dihasilkan kemas.

Muzik garapan Anirudh Ravichander menjadi nadi pendorong, menggabungkan komposisi baharu dengan lagu klasik seperti Vaa Vaa Pakkam Vaa dan Loyola College Laila bagi menambah nilai nostalgia. Sound mixing yang mantap memastikan setiap hentakan, letupan, dan sorakan terasa hidup dalam dewan.

Koreografi aksi oleh duo Anbariv menjadi antara kekuatan utama filem ini. Pertarungan tangan kosong, adegan kejar-mengejar di pelabuhan, serta one-shot fight sequence memberi kepuasan visual yang tinggi, menjadikan Coolie antara filem aksi Tamil paling menghiburkan tahun ini.

Coolie ialah pengalaman pawagam yang memanjakan peminat Rajinikanth dengan aksi sarat dengan muatan nostalgia, detik nostalgik, dan kehadiran bintang legenda yang masih menguasai layar perak. Ia mungkin tidak menawarkan penceritaan kompleks, namun kekuatan persembahan dan eksekusi teknikalnya menjadikan filem ini antara tontonan wajib tahun 2025.

#malikstreasm #DAM #superstarrajinikanth #rajinikanth #superstar #sunpictures #hamsinientertainment #lokeshkanagaraj #anirudh #amirkhan #nagarjuna #upendra #sathyaraj #soubinshahir #shrutihassan


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page