March 12, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

 Converse MY Lancar Creative Exploration: Seni, Fesyen & Komersil Bersatu di Balai Seni Negara

Spread the love

Converse Malaysia (Converse MY) memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan bakat seni muda tempatan menerusi pelancaran Creative Exploration, sebuah aktivasi seni di bawah kempen global LOVE, CHUCK. Majlis pelancarannya telah berlangsung di Balai Seni Negara pada 28 Februari lalu dan telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, Setiausaha Politik Kanan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia.

Dengan kerjasama Balai Seni Negara, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Malaysian Institute of Art (MIA), inisiatif ini bertujuan menyediakan platform dinamik bagi pelajar seni tempatan untuk mengaplikasikan kreativiti mereka dalam dunia fesyen dan pasaran komersil.

Creative Exploration memberi ruang kepada pelajar seni dari UiTM dan MIA untuk menzahirkan ekspresi mereka melalui medium yang unik kasut Chuck Taylor. Karya-karya ciptaan mereka akan dipamerkan di Art Depot, Balai Seni Negara dari 28 Februari hingga 12 April 2025, sebelum koleksi terpilih diperagakan di cawangan-cawangan utama Converse di sekitar Lembah Klang.

Menurut Dr. Shaliza Mohd Shariff, Ketua Pengajian Seni Reka dari Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, inisiatif ini bukan sekadar pameran, tetapi juga pintu masuk ke dalam industri bagi para pelajar.

“Creative Exploration ini adalah satu peluang unik bagi pelajar kami untuk mengembangkan bakat mereka. Ia membuktikan bahawa seni bukan hanya untuk galeri, tetapi juga boleh berkembang dalam dunia komersil. Saya berharap kerjasama ini akan terus diperluaskan.”

Kempen LOVE, CHUCK bukan sekadar tentang fesyen, tetapi satu usaha global yang menjalin hubungan erat antara jenama dan budaya. Dengan penglibatan institusi seni dan akademik, Converse MY membina landasan untuk generasi baharu seniman Malaysia melangkah lebih jauh ke peringkat antarabangsa.

“Inisiatif ini bukan sahaja mengangkat nama Converse dalam dunia seni tempatan, tetapi juga membantu Balai Seni Negara memperkukuh kedudukannya sebagai hab seni kontemporari Malaysia,” ujar wakil Balai Seni Negara.

Selain itu, aktivasi ini turut mengangkat UiTM dan MIA sebagai institusi seni kreatif yang mampu melahirkan bakat-bakat berdaya saing untuk industri global. Kolaborasi ini membuktikan bahawa seni, pendidikan, dan industri boleh bersatu untuk mencipta impak lebih besar.

Dengan gabungan seni dan fesyen, Creative Exploration membuktikan bahawa seni tidak hanya hidup di atas kanvas, tetapi juga boleh melangkah jauh sebagai pernyataan gaya dan identiti di peringkat global.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page