November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

CNBLUE Kembali Mengubat Kerinduan Peminat Malaysia

Spread the love

Penantian hampir 10 tahun peminat CNBLUE untuk melihat kumpulan pop rock Korea Selatan itu mengadakan konsert di Malaysia bakal menjadi kenyataan.

CNBLUE akan menjayakan konsert dinamakan 2024 CNBLUE Live ‘CNBLUENTITY’ in Kuala Lumpur pada 20 April ini, jam 8 malam, di Mega Star Arena, di sini, anjuran Hit Maker Entertainment dan Lo-Fi Entertainment.

Dianggotai Yonghwa sebagai penyanyi utama dan gitar, Minhyuk (dram) dan Jungshin (bass), kali terakhir mereka mengadakan konsert di Malaysia adalah pada 2014.

CNBLUE memulakan kerjaya seni mereka pada 2010 di bawah pengurusan FNC Entertainment. Mereka terkenal dengan corak persembahan bertenaga atas pentas.

Gabungan nama kumpulan dengan perkataan ‘identity’ menjadi CNBLUENTITY adalah untuk menggambarkan identiti trio berkenaan.

Mereka pasti bakal mengembalikan nostalgia buat peminatnya menerusi lagu-lagu hit yang melonjakkan nama mereka seperti I’m a Loner, I’m Sorry, Love and Can’t Stop dan banyak lagi.

Selain itu, CNBLUE juga akan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu baharu dendangan mereka seerta beramah mesra dengan peminat setia yang digelar BOICE.

Sepanjang kerjayanya, CNBLUE sudah merakamkan lagu dalam bahasa Korea, Jepun, Inggeris dan bahasa lain dengan memiliki 11 album studio, 14 album mini (EP), 33 single, dan tiga album kompilasi.

Mereka pernah menerima pelbagai anugerah seperti Golden Disc Awards, Mnet Asian Music Awards (MAMA) dan Melon Music Awards.

Selain muzik, ketiga-tiga ahli CNBLUE juga menyerlah dalam bidang lakonan dan sering membuat kemunculan menerusi drama-drama Korea atau ‘K-drama’.

Yonghwa melakonkan watak utama dalam drama komedi “Brain Works” pada tahun 2023, Minhyuk membintangi drama terkenal “Celebrity”, manakala Jungshin memainkan peranan utama dalam komedi romantik “Sh**ting Stars” pada tahun 2022.

Tiket ke ‘2024 CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur’ yang menampilkan pelbagai faedah kepada peminat akan mula dijual pada jam 12 tengah hari, 29 Februari ini.

Tiket-tiket tersebut boleh didapati menerusi empat kategori zon iaitu BOICE (RM798), THEN (RM698), NOW (RM598) dan FOREVER (RM398).

Sebelum jualan umum, prajualan dalam talian untuk konsert itu akan disediakan dan peminat boleh membuat prapendaftaran di laman sesawang https://bit.ly/3UzKfCZ dengan kapasiti terhad, bermula 23 Februari ini selama tiga hari sahaja.

Pendaftar yang berjaya akan dapat mengakses prajualan tiket pada 28 Februari jam 12 tengah hari dan menerima lanyard berlamina terhad dengan pembelian tiket mereka.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page