November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Clash Of The Titans” Medan Tempur 2 Genre Muzik

Spread the love

Foto Kredit:  Maestro Ridwan

Gandingan dua band legenda iaitu Cromok dan A.C.A.B menerusi konsert Clash of The Titans di Zepp Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu membuktikan bahawa ‘eksperimen’ ACAB Production selaku penganjur boleh diklasifikasikan telah berjaya

Cromok yang mempertaruhkan thrash metal, manakala A.C.A.B dengan oi! Memberikan energi luar biasa di pentas, apatah lagi ketika keduanya ‘battle’ dipentas yang cukup eksklusif sudah pasti memberikan warna yang cukup menarik.

Cromok yang membuka pentas terlebih dahulu hadir dengan intro Ulek Mayang yang menjadi ‘anthem’ kepada jenama Cromok.  Hype dan antisipasi yang positif, khususnya mereka adalah fanatika sejati .  Seumpama dendam yang terpendam disertai amarah yang meluap-luap fan Cromok terus memberikan sokongan padu kepada setiap susunatur lagu yang dipersembahkan.   Energi dan aksi peminat seakan memberi suntikan semangat buat Cromok untuk terus melakukan aksi-aksi spontan yang sudah pasti ‘memakan’ diri peminatnya.

Meskipun Cromok baru saja merakan ulangtahun ke 30 album Forever In Time di lokasi yang sama pada tahun lepas.  Itu bukanlah alasan untuk menidakkan kehadiran fan sejati kumpulan yang mengetengahkan acuan metal melayu atau lebih tepat sebagai nuansa thrashdisional.

Setiap aksi Karl yang menggalas tugas sebagai gitaris, Apiz –drums, Shah – gitaris dan Sam yang ‘mengidupkan’ Cromok di posisi bass dan vokalis pastinya menjadi medan tumpu mata-mata peminat Cromok.

Cromok ‘menghadiahkan’ deretan lagu-lagu popular mereka seperti Unicorn, Little One, Misty, Prophecy, Another You, Memories, The Other dan I Don’t Belong Here.

“Saya meminta kepada anda untuk menghadiahkan Al Fatihah buat Allahyarham Tarmizi Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Miji yang telah meninggalkan kita semua pada hari rabu yang lalu”, pinta Sam sebelum lagu Another You dipersembahkan.

Suasana bening menyelimuti seluruh atmosfera Zepp Kuala Lumpur, pastinya gambaran saat-saat kegemilangan Cromok bersama Allahyarham Miji mula menerjah fikiran.  Tidak terhenti disitu, jiwa-jiwa kental itu turut menitiskan airmata apabila ianya bercampur dengan untaian melodi Another You yang dimainkan secara akustik.

ACAB kemudiannya ‘merampas’ kuasa yang dipaterikan oleh Cromok.  Masih kekal dengan Max Mohammad (vokalis/gitaris), Edy J (gitar), Zul (Dram) dan Andy Flop Poppy yang menggalas tugas sebagai bassis untuk konsert ‘Clash Of The Titans’.  Andy yang mengisi tugas ‘Anas’ sebelum ini ternyata cukup bergaya dan ‘versatile’ meskipun bermain dalam jalur Oi.

Intro Inilah Barisan Kita (Skintro) sudah pasti memberikan energi luar biasa di kalangan pencinta muzik Oi, street punk kepada band ACAB.  Pentas mahupun crowd yang berada di venue mula diserapkan ‘idealogi’ ACAB yang mula mengharuskan situasi dengan lagu We’re ACAB.

Skinhead For Life, Where Have All The Bootboys Gone, Unfairground, ACAB dan sebuah lagu yang jarang sekali mereka bawakan secara live iaitu On Saturday menghangatkan lagi konsert pada malam tersebut.  Inilah lagenda skinhead yang bijak memanipulasi konsep underground ke pentas mainstream.  Meskipun begitu, nama ACAB tetap utuh di dada setiap penggemar muzik oi.

“ Terima kasih buat semua yang hadir ‘support’ konsert kali ini, tak sangka cukup meriah..cukup ramai.  Terima kasih juga buat peminat Cromok yang masih lagi setia di depan stage untuk sama-sama ‘support’ ACAB”, ujar Max Mohammad.

Malapetaka, Unite & Fight, Streets Of Uptown, Racial Hatred II dan We Are The Youth terus menjadi sandaran ACAB pada malam itu.  Peminat juga tidak segan silu bernyanyi bersama, inilah keharmonian vokal yang mendambakan jiwa-jiwa ‘amarah’ di terjemahkan dengan cara yang cukup santai meskipun lirikal sarat dengan elemen rebel.

Saat dinanti oleh semua peminat Cromok dan ACAB untuk menyaksikan resepi konsert “Clash Of The Titans”, dimana kedua band tersebut ‘battle’ di pentas yang sama.  Ulek Mayang, Journey, Freedom & Justice dan Bergandingan Tangan telah menjadi ‘hidangan’ dan ‘santapan’ yang boleh di klasifikasikan cukup menarik apatah lagi ianya turut menampilkan sisi berbeza kedua-dua kumpulan terbabit.

Umum sendiri telah mengetahui bahawa penyatuan pelbagai elemen muzik bawah tanah telah pun berlaku sewaktu scene muzik tersebut berkembang pesat di Malaysia satu ketika dahulu.  Namun dek kerana ketabsuban  terhadap muzik yang diminati maka ‘perpecahan’ kelompok tersebut berlaku.

Meskipun ada terdapat beberapa kekurangan,namun itu bukanlah alasan tetapi perbaiki kerana  ‘Clash Of The Titans’ kini adalah sebuah jenama yang harus dipertahankan, ianya sudah menjadi penanda aras ACAB Production untuk terus mara ke fasa seterusnya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page