CIPTA RAYA 2025: Konsert Raya Pertama yang Menggegarkan Jiwa & Menyentuh Sukma

Teks Oleh: Charlie Verona
Kredit Foto: Bangsawan Pictures
Dalam kelipan cahaya yang menari di atas pentas, gema takbir yang meresap ke dalam hati, dan deruan sorak penonton yang memenuhi ruang, CIPTA RAYA membuktikan satu perkara penting: muzik dan Hari Raya mampu bersatu mencipta magis luar biasa.
Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan — ia adalah perayaan jiwa, memori dan cinta terhadap seni dan budaya Melayu, disulam dalam irama, nostalgia dan sentuhan moden yang menggigit rasa.

“Saya harap kita akan dapat buat konsert raya seperti ini setiap tahun,” ucap Dato’ M. Nasir, sifu legenda yang menjadi peneraju malam penuh emosi ini.
Jam baru menunjukkan pukul 6.00 petang, namun suasana sudah hangat. Rumah Terbuka Cipta Raya membuka tirai dengan alunan muzik tradisional perlahan di latar, sambil para pengunjung dijamu hidangan yang mendamaikan perut dan jiwa. Sudah pasti hidangan tradisi seperti lemang, rendang, nasi himpit, sate, dan kuih-muih yang membawa pulang kenangan dari desa.
Dekorasi penuh warna-warni, disinari cahaya lampu neon berbentuk pelita dan bintang, mencipta satu latar yang mengundang senyum dan tangkap gambar.

Saat lampu pentas merendah, dan suara bergema lembut, satu sorotan lampu putih menyinar ke arah figura yang berdiri teguh iaitu Dato’ M. Nasir. Lagu pembukaan, ‘Hari Raya Yang Sempurna’, membakar semangat. Sorotan cahaya jingga-emas menyapu penonton seperti mentari pagi Syawal.
Speaker berteknologi tinggi di Zepp KL memuntahkan bunyi dengan kejelasan kristal — setiap petikan gitar, dentuman dram dan getaran vokal disampaikan dengan sempurna. Sistem audio 360 darjah menjadikan setiap penonton seolah-olah berada di tengah-tengah pentas.
Dato’ M. Nasir kemudian menyampaikan ‘Hari Raya Hari Bahagia’ — buat pertama kalinya dinyanyikan oleh penciptanya sendiri. Satu kejutan manis seraya diiringi pancaran lampu retro ala 70-an, ia membawa kita kembali ke zaman kegemilangan Ideal Sisters & Ramlah Ram.

Selepas rentetan lagu-lagu bertenaga seperti ‘Raikan Cinta’ dan ‘Hati Emas’, pentas tiba-tiba diselubungi kabus putih. Lampu biru dan ungu berkelipan perlahan. Lalu terdengarlah melodi yang mendalam, menyentuh sanubari khalayak yang memenuhi arena bersama lontaran ‘Sentuhan di Hari Raya’.
Dibawakan semula oleh Dato’ M. Nasir dengan susunan muzik baru, lagu ini menjadi terlalu syahdu, terlalu merdu, membuat ramai penonton tunduk, terdiam, dan ada yang mengesat air mata.

Ketenangan ini diteruskan dengan ‘Suara Takbir’ (lagenda P. Ramlee), dan ‘Lebaran Bonda’, lagu indah tapi kurang dikenali yang akhirnya mendapat pentasnya. Lirik nukilan Hasmi Hashim dan muzik Dato’ Nasir bergema penuh emosi — memeluk rasa rindu terhadap ibu, rumah, dan masa silam.
Langit lampu berubah atmosfera, suluhan cahaya merah, hijau, jingga mula menyatu saat irama ‘Selamat Hari Lebaran’ (Oslan Husin) dimainkan. Penonton bersorak, berdiri, menari kecil. Tapi momen paling menyentuh jiwa adalah ketika Dato’ M. Nasir berkata:
“Saya nak duet dengan salah seorang daripada kamu malam ni. Siapa berani?”

Gadis bernama Putri melangkah ke pentas. Dengan mikrofon di tangan, mereka berdua menyanyikan ‘Halaman Asmara’. Sekaligus menerjah ingatan sosok tubuh Dato’ Awie dan Ziana Zain, namun kali ini ianya lebih segar. Penonton bersorak, sorotan lampu kuning hangat menyinari mereka berdua. Magis. Spontan. Tulus.
Phoenix Bangkit Dari Abu’ meletup di udara. Paparan visual 3D api dan burung phoenix memenuhi skrin LED pentas. Dato’ berdiri di tengah pentas, jaket berkibar, suara membelah udara. Setiap notanya penuh semangat perjuangan dan kebangkitan. Penonton menjerit, menyanyi bersama, seolah-olah mahu bangkit dari abu masing-masing.

Malam kian larut, tetapi jiwa penonton masih membara. Dato’ M. Nasir menutup konsert dengan susunan lagu yang penuh makna dan ledakan tenaga seperti ‘Salam Dunia’, ‘Sahabat Gua’, ‘Satu Hari Di Hari Raya’, ‘Apokalips’, Medley: ‘Esok Hari Raya’ + ‘Ada’ dan akhirnya, ‘Selamat Hari Raya’ versi punk rock ala Saloma.
Penonton seakan hilang arah dimana mereka menyanyi dan menari. Seisi arena bergegar, namun hati penonton tetap terisi. Ada tawa, ada air mata, ada harapan. Di wajah Dato’, terpancar rasa puas. Di wajah penonton, terpancar rasa terima kasih.

Pendekata Cipta Raya bukan sekadar konsert. Ia adalah pengalaman. Ia adalah perayaan. Ia adalah bukti bahawa seni Melayu mampu terus hidup, relevan, dan menyentuh semua generasi. Syabas buat Dato’ M. Nasir, barisan pemuzik hebat, Icon Entertainment, dan Zepp Kuala Lumpur yang menjadikan impian ini satu realiti.