October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“CIPTA 3” M.Nasir Terjemahkan Rock Menjadi Ritual Seni

Spread the love

Kredit Foto:  Bangsawan Pictures

Di bawah limpahan cahaya yang berputar dan sorakan ribuan suara,  atmosfera Axiata Arena Bukit Jalil berubah menjadi sebuah altar muzik tanggal 27 September lalu.  Di situlah seorang maestro yang telah mengisi lebih empat dekad dunia seni berdiri tegak M. Nasir telah menyalakan bara rock yang lama terpendam, menerusi konsert DATO’ M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock.

Ini bukan sekadar sebuah konsert. Ia adalah pengakuan, penegasan, bahkan pengisytiharan seorang legenda bahawa denyut rock dalam dirinya masih hidup, masih bergema, masih relevan.

Dengan kerjasama strategik rakan penaja Etiqa, konsert anjuran Icon Entertainment tersebut berlangsung selama hampir tiga jam tanpa jeda, pentas itu bergetar dengan lebih 20 lagu yang merentasi zaman dan generasi. Lagu-lagu seperti Isi Atau Kulit, Jerangkung Dalam Almari, Laila Namamu Teratas, dan Gerhana mengalir seperti arus deras yang mengikat emosi penonton. Setiap bait lirik bukan hanya dinyanyikan, tetapi dipersembahkan dengan tenaga yang membuatkan penonton terpaku, seolah-olah terperangkap dalam ritual muzik.

Melodi serta kesepaduan vokal yang masih bertenaga, M. Nasir menguasai pentas tanpa perlu banyak gerakan dramatik, cukup dengan aura dan intonasi yang mengalir seperti arus elektrik. Setiap lontaran suaranya tidak sekadar mengisi ruang, tetapi menyalakan semangat kolektif penonton yang berdiri, menjerit, dan menyanyi bersama.

Konsert DATO’ M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock pasti tidak dapat di aplikasikan tanpa para pemuzik handalan yang menjadi tulang belakang persembahan. Gitar meraung dalam Jerangkung Dalam Almari, drum berdentum dalam Musnah, dan bass memacu ritma dalam Opera Hidup. Setiap pemain tidak sekadar mengiringi, tetapi membentuk sebuah benteng yang menolak dan menarik energi penonton.

Momen paling mengejutkan hadir dengan Pawana versi koplo dimana transformasi yang menggabungkan tradisi dan keberanian eksperimen. Dentuman perkusi, lenggok melodi yang baharu, dan raungan gitar mencipta suasana pesta lantas menjadikan ribuan penonton bergerak seirama, seperti satu tubuh besar yang bernafas bersama muzik.

Komposer, penulis lirik juga pelakon itu muncul dengan imej santai  tidak terlalu ranggi seperti poster, sebaliknya menuai sorakan saat ke pentas dengan mengenakan sejenis kain hampir menyerupai tartan Scottish, lantas mengingatkan kepada Axl Rose vokalis Guns n Roses yang acapkali mengenakan fesyen tersebut sewaktu konsert berlangsung.

Antara seleksi lagu yang dipersembahkan adalah Laila Namamu Teratas, Srikandi Cintaku, Jiwa-Jiwa Luka, Rupa Tanpa Wajah, Pertama Dan Selamanya, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Falsafah Cinta, Dibayang Awan, Ukiran Jiwa, Meniti Titian Usang, Di Jalan Sesat, Kau Ratnaku,  Aku Dah Bosan, Cinta Sepi, Saatku Idamkan, Gemuruh dan Sentuhan Listrikmu.

“Saya dah rock sejak awal lagi. Malam ini peluang untuk ekspresikan secara besar-besaran memang satu anugerah,” ujar Dato’ M. Nasir usai konsert berlangsung.

Konsert Cipta 3 bukan titik noktah, sebaliknya sebuah bab penting dalam perjalanan panjang. Dari CIPTA 1, CIPTA 2, hingga CIPTA Raya yang berlangsung April lalu, trilogi ini menzahirkan spektrum kreatif seorang seniman yang enggan terikat pada satu wajah sahaja.

“Selagi beliau sihat, selagi ada peminat dan sokongan media, kita akan teruskan. Tetapi konsep mesti diutamakan. Saya tidak mahu konsert yang sekadar poster tepi tiang.” ujar Iman Tang, pengasas Icon Entertainment

Beliau turut mkemberi bayangan akan hadirnya N47IR dan N48IR, malah sebuah konsert ulang tahun ke-50 pembabitan M. Nasir dalam bidang seni yang telah dirancang sebagai penutup paling besar dan paling agung.

Malam itu lebih daripada hiburan. Ia adalah perjalanan spiritual, pengalaman kolektif di mana muzik menjadi doa, lirik menjadi mantera, dan penonton menjadi saksi. M. Nasir bukan sekadar menyanyi, beliau menyampaikan makna; bukan sekadar beraksi, tetapi menyuluh ingatan.

Setiap detik terasa seperti jambatan ke masa lalu hingga ke zaman remaja.  Ianya adalah momen sederhana yang kini dirindui. Lagu-lagunya mengikat kenangan, menjadikan konsert itu sebuah kapsul masa yang hidup.

Apabila tirai menutup malam itu, satu kesedaran terbit: Cipta 3 bukan penamat, tetapi sambungan legasi. Ia membuktikan bahawa rock bukan sekadar genre, tetapi sebahagian daripada denyut nadi seorang seniman yang dikenali sebagai Sifu.

Bagi ribuan yang hadir, ia adalah malam di mana pelangi muzik M. Nasir dipaparkan dalam kilauan paling indah dimana warna-warni yang mencantumkan nostalgia, tenaga, dan visi masa depan.

Dan seperti setiap pelangi, ia muncul selepas hujan malah boleh diklasikikasikan sebagai tanda, bahawa selepas perjalanan panjang, seni sejati tetap akan memancar, terang dan abadi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page