‘Cinta Luar Biasa’ Andmesh Kamaleng
Penyanyi Indonesia Andmesh Kamaleng mengakui telah dilamun cinta, biarpun kali pertama mengadakan konsert di Malaysia. Lebih mengujakan Andmesh bukanlah jatuh cinta dengan wanita di Malaysia tetapi pada mee goreng mamak.
Andmesh mengakui, sebelum bertandang ke Malaysia dia telah ‘merisik’ lokasi makanan enak yang ada di negara ini daripada rakan-rakan yang pernah datang ke sini.
“Soalan pertama yang saya tanya kepada rakan-rakan yang pernah ke Malaysia ialah tempat makan yang enak. Saya kemudiannya telah dibawa ke restoran mamak dan mencuba mee goreng mamak”, jelas Andmesh sewaktu di temui media ketika mempromosikan konsert solonya di The Curve baru baru ini.
“Saya juga memesan teh ‘o’ ais, tetapi tersalah sebut dengan memesan ‘teh ais’. Rasanya juga enak, malah saya juga sempat membungkus mee goreng mamak untuk dinikmati di hotel. Saya sangat suka mee goreng mamak kerana rasanya lengkap dengan rempah”, ujarnya.
Ketika disoal tentang persiapannya menjelang hari konsert pada 4 Jun depan, Andmesh memberitahu, dia mendapat rujukan daripada rakan-rakan artis yang pernah melakukan persembahan di Malaysia seperti Rizky Febian dan Mahalini.
“Saya meletakkan prinsip dalam diri iaitu untuk tampil dengan idea kreatif dan tersendiri. Kata teman-teman, sambutan peminat di Malaysia sangat ‘asik’. Itu yang membuatkan saya bertambah teruja, ” katanya.
Andmesh yang ditemui sewaktu sidang media di The Curve Mutiara Damansara pada 17 Mei lalu, beliau turut menghiburkan tetamu dengan dua buah lagu popularnya, Cinta Luar Biasa dan Hanya Rindu.
Konsert Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur akan berlangsung pada 4 Jun 2023 bertempat di Dewan Plenary KLCC.