November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Butterfingers Sambut ‘Hari Raya’ di Konsert Malayneum 23

Spread the love

Kumpulan Butterfingers sekali lagi bakal membawa peminat mengimbau nostalgia kegemilangan muzik mereka menerusi Konsert Malayneum 23 yang bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 Oktober nanti.

Kerinduan peminat yang lebih mesra di gelar ‘Royal Butters’ pastinya tidak sabar untuk terus berinteraksi dengan kumpulan yang membawa jalur muzik “post-grunge” dan “alternative rock” ini.

Butterfingers yang diterajui LoQue berkata, idea ini sudah lama disimpan sejak kejayaan Konsert Transcendence pada tahun 2019, namun terbantut akibat dunia diserang pandemik untuk beberapa tahun.

Melihat 2023 sebagai tahun yang baik, mereka membulatkan tekad untuk hadir dengan sebuah konsert yang yang boleh di klasifikasikan sebagai ‘hari raya’ buat semua penggemar dan peminat Butterfingers.

“Malayneum di angkat sebagai nama konsert sebagai memperingati dua dekad kewujudan album itu sehingga kini. Ketika album ketiga Butterfingers bernama Transcendence belum benar-benar menempa nama, kami sudah menerbitkan Malayneum tanpa meraikan album ini sepenuhnya,” ujar LoQue ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Malayneum 23 yanfg di adakan pada 24 Ogos lalu.

Pengalaman sewaktu mengadakan persembahan semasa konsert terakhir mereka pada tahun 2019, mereka jadikan iktibar dan pengajaran malah mereka lebih teliti mengambil berat perihal kesihatan demi mengelakkan kejadian pemain bass berhenti di tengah persembahan akibat sesak nafas berulang kembali.

“Kami sentiasa mengambil ikhtibar dan memperbaiki mutu persembahan. Demi mengelakkan perkara yang lama kembali, kami sangat menekankan perihal kesihatan. Kami juga banyak melakukan senaman, jaga makan dan tidak mengambil gula berlebihan. Kita hanya mampu merancang dan diharap peristiwa lalu tidak akan berulang,” tambah vokalisnya, Emmet.

Kadak yang senada dengan Emmet turut meminta peminat agar sama-sama mendoakan agar dipermudahkan urusan Butterfingers demi menjayakan konsert Malayneum 23.

Atas permintaan ramai, Emmett yang bakal tampil bermain gitar semula itu berharap dapat memberikan satu persembahan yang boleh diingati serta luar biasa.

“Yang paling penting adalah untuk saya sendiri merasa puas yang betul-betul puas, ini kerana jika diri saya dapat rasai kepuasan tersebut, maka sudah pasti anda semua yang hadir tentu akan lebih puas, sepuas-puasnya”, tambah Emmet

Bakal membawakan lebih 20 lagu, Butterfingers mendedahkan bukan mudah untuk memilih senarai lagu bagi dipersembahkan di konsert itu nanti.

Namun begitu, mereka bercadang untuk turut membawakan lagu-lagu yang jarang dipersembahkan di mana-mana konsert mereka sebelum ini selain lagu-lagu ‘wajib’ yang banyak memperkenalkan Butterfingers kepada khalayak.

Walaupun jualan tiket baru sahaja dibuka pada 15 Ogos lalu, hampir separuh tiket sudah terjual. Harga tiket boleh dibeli bermula RM99 (Ginseng), RM135 (Suddenly), RM199 (Pacific) dan RM249 (Mating Season).

Serta tambahan tempat duduk utama dengan harga bermula RM499 (Malayneum Deluxe) untuk pembeli bergambar bersama (meet & greet) dan memiliki barangan rasmi (official merchandise). Segala urusan pembelian tiket adalah menerusi www.ticket2u.com.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page